23 July 2013

Q&A: Jerawat! Apakah Cara Pencegahannya?



Soalan: Apakah cara mencegah dan merawat masalah jerawat? - Deyla

Jawapan:

Masalah jerawat berlaku kepada remaja yang baru baligh. Masalah ini biasanya terjadi sewaktu berumur 13 ke 17 tahun. Jerawat tumbuh di kawasan dahi dan bahagian atas pipi serta berminyak. Namun begitu, jerawat yang tumbuh akhirnya akan berkurangan apabila meningkat dewasa, mencecah umur 20 ke atas. Masalah jerawat semasa remaja adalah normal.

Ia terjadi kepada kebanyakan remaja kerana semasa baligh, hormon tidak seimbang akibat perubahan drastik pada fizikal seperti kedatangan haid, suara bertukar garau dan sebagainya. Jerawat ini dikenali sebagai jerawat Remaja (teen acne).

Bagaimana pula dengan orang dewasa yang berjerawat? 40-55% orang dewasa kurang bernasib baik kerana masih mengalami masalah jerawat walaupun sudah berumur 20 ke 40 tahun. Jerawat dewasa (Adult acne) sangat berbeza dengan jerawat remaja kerana;
  • Jerawat dewasa tidak semestinya terjadi akibat kulit muka terlalu berminyak. Ada juga orang dewasa yang mengalami kulit kering tetapi berjerawat dan mengalami dehidrasi pada kulit (kekurangan air). Remaja pula berjerawat akibat kalenjar minyak pada kulit muka mengeluarkan minyak berlebihan kerana hormon tidak seimbang.
  • Hormon stress (seperti Cortisol) yang dihasilkan dalam tubuh orang dewasa semasa tertekan boleh menyebabkan masalah jerawat
  • Jerawat dewasa lebih lambat sembuh, lambat hilang dan boleh mengakibatkan kesan jerawat menjadi tompok hitam
  • Dewasa kebiasaannya berjerawat di kawasan rahang, dagu, dan separuh muka bahagian bawah.

Bagaimana caranya hendak mengatasi atau mengurangkan masalah jerawat?

  • Kurangkan stres! Bersenam, pergi ke spa, keluar bersama kawan dan keluarga, bersiar-siar, baca Quran, solat sunat boleh mengurangkan stres.
  • Hentikan tabiat suka menyentuh muka atau memicit jerawat! Ia boleh membuatkan bakteria daripada tangan merebak dan menyebabkan jerawat semakin teruk.
  • Barangan yang selalu terkena muka anda seperti telefon bimbit juga boleh menyebabkan jangkitan kuman berlaku kerana ia penuh dengan bakteria. Dinasihatkan untuk memakai Head Set jika kerap bertelefon
  • Jangan tidur dalam keadaan bermekap! Mengapa?

Pada pukul 10 malam, kulit memulakan proses baik pulih dan pembuangan toksik melalui liang-liang kulit. Mekap boleh menyebabkan liang kulit tersumbat dan mengganggu proses baik pulih.
Penjagaan rapi kulit sangat penting pada waktu malam. Setiap malam, amalkan langkah berikut:

1.       Bersihkan muka menggunakan sabun pembersih muka yang bersesuaian
2.       Sapu ubat jerawat pada jerawat anda
3.       Lindungi wajah anda dengan conditioner dan moisturizer untuk tujuan melembapkan

Sekiranya anda tidak sempat atau terlalu letih melakukan 3 langkah di atas, pastikan anda melakukannya pada awal pagi selepas bangun.

Sisa toksik dikeluarkan terus melalui kulit pada waktu malam semasa anda tidur. Oleh sebab itu, pada waktu pagi wajah anda tidak bersih akibat toksik yang dibebaskan semalaman. Penjagaan rapi wajah pada waktu pagi juga sangat penting.



  • Sekiranya jerawat tumbuh di atas kepala atau belakang telinga, kemungkinan besar anda tidak membilas rambut dengan bersih
  • Pastikan bantal anda sentiasa bersih dan selalu di basuh kerana kotoran, kelemumur atau kulit mati dari kepala mudah berkumpul di bantal dan boleh menyebabkan jangkitan kuman di muka, menjadikan jerawat bertambah teruk.
  • Gunakan produk penjagaan kulit yang memang dikhaskan untuk orang dewasa. Kebanyakan orang dewasa tersilap membeli produk. Mereka membeli krim khas untuk remaja yang berfungsi untuk merawat kulit yang berminyak. Ini akan menyebabkan kulit menjadi lebih kering dan tidak sihat.
  • Beli alat mekap atau produk penjagaan rambut yang berlabel ‘bebas minyak’ (oil free) serta bertanda ‘non comodegonic’ atau ‘non acnegenic. Ini bermaksud produk tersebut tidak akan menyebabkan liang kulit anda tersumbat dan dapat mengurangkan risiko  berjerawat.

Berikut adalah antara Formulasi dan Bahan Penting yang harus ada pada pada produk kerana terbukti berkesan merawat jerawat dewasa:

  • Retinoic Acid (Vitamin A): mengurangkan keradangan pada kulit yang boleh menyebabkan jerawat muncul
  • Salicyclic Acid, Lactic Acis, Sulfur, Papain (sejenis enzim papaya): ‘Mencerna’ kulit mati dan jerawat serta membersihkan liang roma untuk mengatasi jangkitan kuman
  • Benzoyl Peroxide: Berkesan untuk merawat tompok hitam dan mengawal kalenjar minyak.

Jika formulasi di atas tidak dapat merawat jerawat anda atau jerawat anda bertambah teruk, anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor pakar kulit/dermatologist untuk mendapatkan nasihat dan formulasi yang sesuai untuk jenis kulit anda.


Harap dapat membantu!

Sumber:

HANTAR SEBARANG SOALAN ANDA DI TWITTER [klikATAU FACEBOOK [klikDENGAN HASHTAG #Q&A. ANDA AKAN DIMAKLUMKAN APABILA JAWAPAN TELAH DIBERIKAN DI DALAM BLOG INI  :)

18 July 2013

Q&A: Ada apa dengan Air Cap Badak?

Soalan: “Sejauh mana keberkesanan air Cap Badak? Apa perbezaannya dengan air mineral?” – Finie.


Jawapan:

Tiada kajian saintifik yang diterbitkan kepada umum berkenaan dengan keberkesanan air Cap Badak. Ia dijual meluas di kedai-kedai runcit sebagai ubat herba tradisional Cina yang berkesan untuk menyejukkan badan. Air Cap Badak berbeza dengan air mineral biasa kerana ia mengandungi herba tradisional yang tertentu untuk melegakan kepanasan.

Air Cap Badak bukanlah berasal daripada Badak Sumbu dan tiada langsung kaitan dengan haiwan tersebut tetapi hanyalah sebuah jenama produk. Berada di pasaran sejak tahun 30-an, Air Cap Badak mempunyai pelbagai jenama berdaftar tetapi masih lagi mengekalkan gambar badak pada bungkusan seperti Cap kaki Tiga, Cap Tiga Senapang, Cap Tiga Daun, CoolRhino0₂ dan macam-macam lagi. Entah apa yang istimewa dengan nombor 3 dan haiwan ini.

Namun demikian, kesemua produk penyejuk badan ini mempunyai persamaan dari segi ubatan yang terkandung di dalamnya iaitu Gypsum Fibrosum dan Calcitum. Ada juga produk mengandungi Gypsum Fibrosum dan Galcareous Spar.

Apa kelebihan ubatan tradisional tersebut?

Ubatan tersebut ialah ubatan herba tradisional Cina yang dipercayai berkesan melegakan kepanasan badan. Apakah yang dimaksudkan dengan kepanasan badan? Menurut kepercayaan Cina, makanan yang kita makan mempunyai dua kelas. Makanan sejuk dan makanan panas. Makanan panas seperti daging, makanan laut, makanan bergoreng dan durian akan menyebabkan suhu badan naik jika dimakan terlalu banyak dan menyebabkan ketidakselesaan pada badan. Oleh sebab itu pengambilan makanan harus diseimbangkan dengan makanan sejuk seperti buah-buahan segar (selain durian) dan sayuran.

Konsep ini dikenali sebagai Makanan Yin (panas) Yang (sejuk). Walaubagaimanapun konsep ini masih belum dapat dibuktikan secara saintifik tetapi terbukti berkesan dengan amalan sejak zaman berzaman datuk nenek kita. [sumber

Apabila badan kepanasan akibat pengambilan makanan panas berlebihan, air Cap Badak boleh diminum untuk melegakannya. Selain daripada kepanasan akibat makanan, demam, cuaca terlalu panas dan bayak lagi penyakit lain juga menjadikan air Cap Badak pilihan pengguna untuk melegakannya.

Walaupun tiada kajian dilakukan ke atas air penyejuk badan ini, namun saintis dan pakar perubatan ada melakukan kajian terhadap herba yang digunakan terutamanya Gypsum Fibrosum dan Calcitum.

Gypsum Fibrosum

Gypsum Fibrosum dikenali sebagai Shi Gao dalam bahasa Cina merupakan batu mineral yang banyak terdapat di Asia, Eropah dan Amerika Utara. Kegunaan utama mineral ini ialah sebagai plaster dalam bahan binaan. Namun begitu, ia turut mempunyai kegunaan dalam perubatan tradisional masyarakat Cina khususnya.

Menurut Dr. Mao Shing Ni, pengamal tradisional Cina yang terkenal (penulis best-seller Secrets of Longevity serta pernah dipaparkan biografinya di dalam website Dr. Oz); khasiat Gypsum Fibrosum termasuklah dapat melegakan haba berlebihan di dalam peparu, mengubati gusi yang bengkak, mengurangkan simptom diabetes, demam panas, kehausan berlebihan, sakit kepala, sakit gigi, hidung berdarah dan batuk. Ia juga boleh digunakan diluar tubuh badan sebagai krim yang boleh mengubati eczema (ruam kulit yang gatal), melecur dan ulser mulut.

Calcitum
Calcitum pula dikenali sebagai Han Shui Shi dalam bahasa Cina. Merupakan batu mineral yang terdiri daripada kalsium sulfat atau kalsium karbonat. Digunakan dalam perubatan tradisional Cina, dipercayai dapat melegakan demam panas, ketidakelesaan pada badan, kehausan, melancarkan fungsi jantung, perut, buah pinggang dan banyak lagi kelebihan lain.

Terdapat beberapa kajian saintifik dilakukan ke atas Calcitum dan ia terbukti dapat merawat Osteomyelitis pada kaki (jangkitan bakteria di dalam tulang) dengan pengambilan tablet yang mengandungi kalsium sulfat. Calcitum yang terdiri daripada kalsium karbonat turut digunakan dalam bahan ubatan untuk merawat penyakit buah pinggang kronik.

Namun begitu, terdapat nasihat tentang pengambilan calcitum. Ia tidak boleh diambil jika limpa bermasalah atau tekanan darah rendah. Ia juga tidak boleh digunakan keatas bayi baru lahir, kanak-kanak bawah 4 tahun, ibu mengandung atau sedang menyusukan anak sekiranya belum mendapat nasihat doktor.

Ada yang khuatir tentang pengambilan air ini boleh menyebabkan terlebih dos serta keracunan. Tidak perlu risau kerana pengamal perubatan Cina menyarankan pengambilan herba ini 9 hingga 30 g. Walhal air Cap Badak hanya mengandungi tidak lebih 0.2 g. Peraturan pengambilan tertentu juga turut disertakan pada label botol dan seharusnya dibaca oleh pengguna sebelum meminumnya agar tidak terlebih dos.

Air Cap Badak itu hanyalah air paip?

Pada tahun 2010, akhbar kosmo ada melaporkan bahawa terdapat pengilang air Cap Badak telah menipu pengguna kerana menggunakan air paip. Produk mereka juga tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan  Malaysia. Perkara ini sangat mendukacitakan dan menyebabkan produk air Cap Badak menjadi satu keraguan kepada pengguna ekoran laporan ini. [sumber]

gambar atas: kod utk nombor pendaftaran ialah MAL
gambar bawah: pelekat berkilat berwarna silver 
Walaubagaimanapun, anda boleh mengelak daripada membeli air Cap Badak palsu dengan melihat kepada nombor pendaftaran produk pada label dan memeriksa pada data Kementerian Kesihatan di sini [klik]. Sekiranya ia tersenarai, produk tersebut inshaAllah ubat tradisional. Cara paling mudah ialah dengan melihat pelekat kecil berkilat berwarna silver yang mempunyai lambang harimau dan huruf KKM disertai dengan nombor siri yang bermula dengan huruf ‘D’.

Sejauh mana anda mempercayai keberkesanan air Cap Badak ini semua bergantung daripada anda. Jika anda kurang yakin, jangan risau, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat yang lebih faktual.

Sumber:
National Pharmaceutical Control Bureau (MOH): ANTELOPE AND RHINO BRAND COOLING WATER (MAL20014256T) 
Ask Doctor Mao: Gypsum  (UTAMA)  


HANTAR SEBARANG SOALAN ANDA DI TWITTER [klikATAU FACEBOOK [klikDENGAN HASHTAG #Q&A. ANDA AKAN DIMAKLUMKAN APABILA JAWAPAN TELAH DIBERIKAN DI DALAM BLOG INI  :)

15 July 2013

Rambut Manusia Digunakan Dalam Makanan


Apakah perasaan anda jika anda ternampak sehelai rambut dalam makanan anda? Pasti menjijikkan dan ada yang akan hilang selera makan. Tapi tahukah anda dalam makanan seharian anda sebenarnya terkandung rambut manusia? Rambut manusia diproses untuk dijadikan salah satu bahan ramuan dalam makanan iaitu L-cysteine.

Apakah L-cystein?

L-cystein ialah sejenis asid amino yang biasanya digunakan di dalam makanan, ubatan dan kosmetik. Dalam pembuatan roti, L-cystein digunakan untuk mengurangkan tempoh adunan doh, menghentikan pengecutan kerak pizza selepas dinipiskan dan menjadikan doh tidak mudah melekat. Selain itu, L-cystein juga digunakan sebagai komponen untuk menghasilkan bahan perisa berdaging seperti ayam dan lembu.

Walaupun L-cystein terdapat dalam pelbagai jenis makanan, namun biasanya ia tidak akan disenaraikan sebagai bahan ramuan pada label kerana ia tidak dianggap sebagai penambah makanan tetapi sebagai bantuan dalam pemprosesan.

L-cystein digunakan dalam pembuatan roti

Sumber L-Cystein?

Pada masa ini, hampir 80% daripada L-csytein yang digunakan diseluruh dunia diperolehi dari China. Rambut didapati daripada kedai-kedai tukang rambut dengan mengumpul rambut-rambut di lantai. kemudian diproses, diekstrak L-cystein yang terdapat padanya sebelum dimasukkan dalam makanan.

Rambut manusia kaya dengan dua jenis asid amino, iaitu L-cystein dan L-tyrosine. Terdapat sebanyak 14% L-cystein dalam rambut manusia. Dalam proses penghasilan L-cystein, keratin daripada rambut manusia diekstrak dengan menggunakan asid hidroklorik dan air. Selepas beberapa proses tertentu, keratin bertukar menjadi L-cystein. Selain rambut manusia, bulu ayam juga merupakan sumber L-cystein.

L-cysteine selepas diekstrak

Kegunaan L-cysteine dalam makanan adalah dibenarkan di negara kita. Menurut Jadual Kesebelas Peraturan Makanan 1985, bahan ini dibenarkan penggunaannya dalam tepung gandum dan tepung berprotein tinggi. Tepung-tepung ini biasanya digunakan dalam pembuatan roti, kuih-muih dan digunakan juga dalam masakan.

Pandangan Islam

Menurut hukum syarak,setiap bahagian manusia adalah haram dimakan oleh umat islam. Setiap bahagian tubuh manusia adalah mulia dan tidak boleh diperlakukan dengan sewenang-wenangnya. Tepung atau sebarang makanan yang mengandungi L-cystein daripada rambut manusia adalah haram dimakan! Walaupun ada kemungkinan ia bersumberkan daripada bulu ayam yang halal, kegunaan L-cystein dalam makanan adalah satu keraguan kerana besar kemungkinan ia diperolehi daripada rambut manusia

Oleh yang demikian, pengguna yang beragama Islam seharusnya perlu berhati-hati dalam membuat pilihan makanan mereka terutama makanan yang berasaskan tepung yang mungkin terdapat campuran L-cystein di dalamnya. Antara makanan yang berasaskan tepung ialah roti dan pizza. Memandangkan bahan ini tidak di pamerkan di label makanan, ia akan menambah lagi keraguan terhadap makanan tersebut.

(Disunting oleh Kopiah Hijau) 

Sumber:
Consumers Association of Penang, 2006. Halal Haram: An Important Book for Muslim Consumers : a Guide 

12 July 2013

Mengapa Saya Selalu Mengalami Ulser Mulut?



Setiap daripada anda pasti pernah luka di bahagian dalam pipi, bibir, lidah, bawah lidah atau lelangit. Luka berbentuk bujur atau bulat; putih di tengah dan kemerahan di tepian luka. Ia dikenali sebagai Canker Sore dalam bahasa Inggeris atau secara medikalnya dikenali sebagai Aphthous Stomatitis. Sudah tentu, ia berasa sakit dan mengganggu anda ketika makan atau bercakap.

Walaubagaimanapun, penyakit ini tidak memberi kesan bahaya kepada organ lain seperti kanser. Ia juga bukanlah akibat jangkitan kuman dan bukan pula penyakit yang berjangkit. Menurut statistik, wanita lebih kerap mendapat ulser berbanding lelaki. kekerapan berlakunya ulser juga akan berkurangan apabila umur mencecah 40-an.



Sebahagian orang jarang mendapat Aphthous Stomatitis dan apabila berlaku, ia cepat hilang dalam masa beberapa hari sahaja. Ada pula yang mengalaminya setiap masa dan agak lambat sembuh. Mereka ini sedang mengalami Recurrent Aphthous Stomatitis (RAS). Punca sebenar penyakit ini masih belum pasti lagi.

Namun begitu, beberapa sebab dan kemungkinan boleh membawa kepada RAS:
  • Sistem imun badan yang abnormal; menyerang sendiri bahagian dalam mulut dan pelbagai lagi faktor lain seperti sistem imun lemah dll.
  • Kekurangan zat besi seperti anemia (sejenis penyakit berkaitan dengan sel darah merah)
  • Mewarisi daripada ibu bapa atau adik-beradik lain
  • Stres akibat tugasan yang terlalu banyak atau peperiksaan semakin hampir
  • Kekurangan nutrien dalam badan terutamanya asid folik, vitamin B6, vitamin B12 dan zat besi
  • Haid dan perubahan hormon yang mendadak
  • Penggunaan ubat gigi yang mengandungi bahan kimia Sodium Lauryl Sulfate (SLS) yang berfungsi untuk menghasilkan buih yang banyak
  • Bahagian dalam mulut/lidah tergigit, terkena makanan yang tajam atau memberus gigi dengan kasar
Bagaimana hendak mengubati Aphthous Stomatitis?

Setakat ini, tiada penawar yang dapat mengubati serta merta. Namun, pelbagai ubat boleh didapati di farmasi untuk mengurangkan kesakitan yang dialami. Ia akan sembuh sendiri dalam masa beberapa hari (tidak lebih 10-12 hari). Jika anda menjaganya dengan baik, proses penyembuhan akan berlaku dengan lebih cepat.

Antara ubat penahan sakit untuk ulser mulut
Pastikan anda mengikuti tips berikut apabila anda mempunyai ulser;
  • Elak memakan makanan yang panas, pedas, masam (minuman), masin atau keras yang boleh menyakitkan luka dan melambatkan proses penyembuhan
  • Gunakan berus gigi yang lembut untuk mengelak ulser tersentuh dengan kasar dan menyebabkan pendarahan. Anda juga disarankan menggunakan cecair pembersih mulut (cth: Listerine) jika memberus gigi menyakitkan.

Beberapa langkah pencegahan (atau sekurang-kurangnya mengurangkan kekerapan ulser itu muncul) yang boleh diikuti;
  • Pelbagaikan makanan dalam diet anda setiap hari terutamanya yang kaya dengan vitamin B6 (cth: ayam, ikan, sayur berwarna hijau gelap, betik), vitamin B12 dan zat besi (cth: daging, ikan, ayam, sayur, susu, soya) serta asid folik (cth: buah, sayur, bijirin, kekacang).
  • Cuba untuk gunakan produk ubat gigi yang bebas daripada SLS. Antara produk bebas SLS di Malaysia adalah Sensodyne.
  • Anda juga disarankan untuk flos gigi setiap hari, gosok gigi dengan lembut, disertai dengan pembersihan mulut menggunakan cecair pembersih seperti Listerine untuk kebersihan gigi yang total. Mulut kurang bersih menyebabkan bakteria di dalam mulut menyerang ulser anda dan menyebabkan ia teruk dan lambat sembuh
  • Menurut kajian yang dilakukan pada tahun 1990, oren, tomato, kacang, terung, teh dan minuman kola antara makanan yang boleh menyebabkan ulser muncul. Nanas dan minyak kayu manis juga turut mempunyai kaitan

Tips diatas hanyalah antara cadangan yang boleh dilakukan dan dilaporkan berkesan oleh sebilangan pesakit. Namun begitu, tiada kajian makmal yang dapat membuktikan secara tepat keberkesanan langkah pencegahan ini.

PERHATIAN: jika ulser anda tidak sembuh lebih daripada 3 minggu, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan yang lebih dalam kerana dikhuatiri ulser tersebut berkemungkinan komplikasi daripada penyakit lain yang berbahaya seperti kanser.

Sumber:
Registered Dental Hygienist Magazine (RDHmag): Recurrent aphthous stomatitis

07 July 2013

Minyak Masak Terpakai Boleh Sebabkan Kanser Jika 7 Langkah ini Diabaikan


Amalan menggunakan semula minyak masak terpakai sudah menjadi amalan biasa kerana ia lebih menjimatkan. Tapi tahukah anda, tanpa cara dan tips yang betul, amalan ini boleh menyebabkan anda mendapat pelbagai penyakit berbahaya!

04 July 2013

Sate Penyebab Kanser



Sate, kambing golek, kepak panggang dan semua macam panggang merupakan antara makanan kegemaran rakyat Malaysia! Dipanggang diatas arang yang sangat panas, menghasilkan daging yang berjus dan rangup. Tapi tahukah anda, memanggang boleh meningkatkan risiko kanser kolon?!

Menurut statistik terkini, kanser kolon merupakan kanser kedua yang paling banyak berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia selepas kanser payudara. Pada tahun 2008, World Health Organisation (WHO) melaporkan bahawa satu daripada 33 rakyat Malaysia berisiko tinggi untuk mendapat kanser ini.

kolon = usus besar

Kanser kolon ialah kanser di bahagian usus besar. Ia juga boleh dikenali sebagai kanser kolorektal sekiranya pesakit turut mendapat kanser di bahagian rektum (beberapa inci terakhir usus besar sebelum bersambung dengan dubur). Ia bermula dengan ketumbuhan gumpalan kecil di dinding usus; polip. Sekiranya tiada langkah pencegahan dan rawatan diambil, ketumbuhan menjadi tidak terkawal dan membawa kepada kanser kolon. Kanser ini akan menyebabkan usus tersekat, berdarah dan mengganggu proses pembuangan najis. Ia juga boleh merebak ke organ lain dan menyebakan kanser yang lain pula jika tidak dirawat.

ketumbuhan polip yang berbentuk seperti cendawan

Sebenarnya, bukan sahaja daging yang dipanggang boleh meningkatkan risiko kanser. Sebarang daging seperti ayam, lembu, kambing, ikan dan juga kerang yang dibakar sehingga kehitaman akan menghasilkan sejenis bahan kimia yang boleh menyebabkan kanser. Bahagian hitam yang hangus itulah yang menjadi sumber bahan kimia tersebut. Setelah dimakan, ia akan meresap ke dalam sel badan, merosakkan DNA di dalam sel nukleus dan boleh membawa kepada kanser.

dibakar sehingga hangus kehitaman

Apabila protein pada daging atau kerang dimasak sehingga hangus kehitaman, sejenis kimia iaitu heterocyclic amines (HCA) terbentuk – inilah bahan karsinogen yang boleh menyebabkan kanser. Pada suhu yang sangat tinggi, asid amino yang semula jadinya terdapat di dalam protein akan bergerak balas dengan sejenis bahan kimia di dalam daging – creatine lalu membentuk HCA. Bukan sahaja kaedah memanggang; menggoreng juga boleh menyebabkan daging menghasilkan HCA. HCA boleh merosakkan DNA pada sel dan menyebabkan kanser kolon.

api meluap

Selain itu, lemak dan minyak yang terhasil daripada daging yang dipanggang akan jatuh ke dalam arang dan menghasilkan api yang tinggi meluap. Tindak balas ini akan menyebabkan Polycyclic aromatic hydrocarbons (PAHs) terbentuk – sejenis bahan karsinogen yang turut menyebabkan kanser. Asap yang dihasilkan daripada api yang meluap mengandungi PAHs dan akan menyelaputi makanan yang dipanggang. PAHs turut terdapat pada kehangusan yang terbentuk di atas daging selepas dipanggang. Risiko kanser perut akan meningkat sekiranya terdedah dengan PAHs.

Bagaimana caranya untuk mengurangkan risiko ini?
  • Paling mudah, sudah tentu mengurangkan pengambilan daging panggang atau, membuang bahagian yang hangus kehitaman itu semasa santapan
  • Menukar cara memasak daripada memanggang dan menggoreng kepada; penyediaan sup, stim, atau memasak dengan suhu yang sederhana tanpa hangus.
  • Perap daging/kerang dengan lebih lama akan mengurangkan HCA dan PCAs yang terhasil.
  • Pastikan anda sapu minyak pada grill untuk mengelakkan daging melekat dan hangus
  • Pastikan grill sentiasa bersih dan buang segala sisa hangus dan arang untuk mengelakkan bahan kimia yang terdapat padanya tidak berpindah kepada makanan baru yang hendak dimasak
  • Elakkan memasak di bahagian yang sudah hangus kehitaman
  • Potong daging nipis dan kecil agar ia cepat masak supaya kurang terdedah dengan asap berbahaya
  • Buang segala lemak yang terdapat pada daging sebelum memanggang untuk mengurangkan minyak yang menghasilkan api yang meluap
  • Buang kulit pada ayam
  • Jangan panggang bersentuhan dengan arang, pastikan jarak grill dengan arang tidak terlalu dekat untuk mengelakkan banyak kehitaman terbentuk
  • Pastikan api tidak bersentuhan dengan makanan
  • Terus pindahkan daging yang telah masak dari grill supaya tidak terdedah lama dengan arang
  • Gunakan drip tray untuk mengumpul minyak yang terhasil daripada daging
  • Makan lebih banyak sayur dan buah (contohnya timun) sebagai antioksida yang melawan kanser
drip tray

Untuk pengetahuan anda, sayur atau buah yang dibakar seperti jagung bakar tidak akan menghasilkan bahan kimia yang menyebabkan kanser. Oleh itu, pangganglah jagung, tempeh, brokoli dan sayur lain yang semestinya lebih berkhasiat!



Sumber:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...