15 July 2014

5 Bahan Pemanis yang lebih sihat daripada Gula


Umum mengetahui gula merupakan bahan pemanis yang paling universal. Ia sesuai digunakan dalam pelbagai jenis minuman, masakan, kuih muih dan banyak lagi tanpa meninggalkan sebarang rasa yang pelik selain daripada manis!

Namun begitu, gula memberikan kesan yang tidak baik kepada kesihatan sekiranya digunakan berlebihan. Gula a.k.a glukosa dapat meningkatkan risiko diabetis, obesiti seterusnya pelbagai komplikasi yang lain.
Sekiranya anda adalah pesakit diabetis, penggunaan bahan pemanis dalam minuman dan makanan haruslah dikurangkan! Lebih selamat untuk tidak terus memakan atau meminum makanan yang manis!

Jangan risau, terdapat banyak jenis bahan pemanis alternatif di pasaran selain daripada gula. Bahan pemanis selain daripada sukrosa (gula biasa), fructose corn syrup dan madu adalah dikenali sebagai pemanis tiruan. Ia mempunyai kalori yang lebih rendah dan bagus untuk mengawal kadar gula dalam darah.

Sekiranya anda ingin minum manis tapi pada masa yang sama ingin mengurangkan risiko diabetis – atau dalam kata lain, minum manis secara sihat – berikut adalah antara bahan pemanis tiruan yang mempunyai kalori lebih rendah berbanding gula biasa – yang biasanya dapat ditemui di pasaran.

1. Stevia



Stevia diekstrak daripada sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai Stevia Rebaudiana yang mempunyai rasa yang manis. Ia biasanya dijual di pasaran dalam bentuk serbuk. Terdapat juga syarikat yang mengeluarkan produk minuman dan makan menggunakan pemanis daripada stevia.

Stevia mempunyai kosong kalori! Namun begitu, Stevia mempunyai rasa sedikit pahit. Oleh itu, pengeluar biasanya akan menambah sedikit bahan pemanis semulajadi seperti dekstros atau maltodekstrin untuk mengurangkan kesan rasa pahit.

Ini akan memberi kesan kepada kadar kalori stevia tetapi hanya sedikit sahaja. Kebiasaannya satu sudu teh stevia mempunyai 5 kalori. Berbanding gula, 20 kalori! Stevia adalah 200 ke 300 lebih manis berbanding gula! oleh itu, hanya sedikit sahaja jumlah yang diperlukan untuk mencapai manis seperti gula.

2. Aspartame (Equal®, Nutrasweet ®)

ada yang berbentuk serbuk, ada juga yang pil
200 lebih manis berbanding gula dan paling banyak digunakan dalam produk makanan seperti minuman bergas tanpa gula (sugar free soft drink/diet coke), pemanis dalam ubat hisap, jeli dll. Aspartame tidak sesuai digunakan untuk memasak kerana tidak stabil semasa dipanaskan. Ia akan berasa sedikit pahit apabila makanan sudah lama dalam simpanan. Sebagai contoh minuman bergas menggunakan aspartame, apabila lama disimpan dalam peti, ia akan mempunyai rasa sedikit pahit. Ia berlaku kerana ketidakstabilan pemanis tersebut.

Equal® merupakan antara jenama aspartame yang terkenal. Walaupun ia tidak mempunyai kalori, sekiranya anda memeriksa label pada bungkusan Equal® jangan terkejut jika anda mendapati pemanis ini mempunyai 4 kalori setiap saket kecil! Ia adalah kerana, ia dicampurkan dengan sedikit bahan pemanis asli seperti dekstrosa dan maltodekstrin yang menyebabkan kalori dalam pemanis itu bertambah tetapi tidaklah terlalu banyak berbanding sesudu the gula.

Sekiranya anda berkunjung ke restoran Secret Recipe, mereka juga ada menyediakan saket kecil yang mengandungi aspartame. Anda bolehlah mencubanya untuk memaniskan minuman anda tanpa menambah kalori dengan banyak!

3. Saccharin (Sweet ‘N Low ®, Sweet Twin ®, Sugar Twin ®)


Saccharin merupakan bahan pemanis tertua yang ditemui pada tahun 1879 secara tidak sengaja oleh Constantine Fahlberg. Penemuan itu disedari apabila beliau terlupa untuk membasuh tangan daripada makmal sebelum makanan tengahari. Apa yang berlaku, roti yang dimakannya berasa manis! Sejak daripada itu, Fahlberg mempaten dan mengeluarkan produk saccharin secara besar-besaran 5 tahun kemudian.

Pemanis ini 300 lebih manis daripada gula. Oleh itu ia digunakan hanya dalam kuantiti yang sangat kecil dan juga mengandungi tiada kalori!

4. Sucralose (Splenda®)


Sucralose merupakan bahan pemanis yang paling manis. 2 kali lebih manis daripada saccharin, 3 kali lebih manis daripada aspartame dan 600 ratus kali lebih manis daripada gula! Ia juga merupakan pemanis yang paling stabil pada suhu yang tinggi. Oleh itu, ia banyak digunakan dalam produk-produk makanan yang memerlukan suhu yang tinggi seperti kek bakar dll.

5. Acesulfame-K (Sunett®, Sweet One®)


200 kali lebih manis daripada gula, ia juga tidak mempunyai kalori seperti bahan pemanis lain kerana ia tidak diproses dalam badan. Selain daripada digunakan sebagai serbuk bahan pemanis, ia turut digunakan dalam produk farmaseutikal, produk pembersih mulut serta produk makanan dan minuman.

Acesulfame-K biasanya akan dicampur dengan bahan pemanis lain yang tiruan mahupun yang asli. Ia akan disenaraikan dalam senarai ingredient pada label sebagai “acesulfame potassium” 

Gula Alkohol


Terdapat juga pemanis tiruan daripada gula alcohol (sugar alcohol). Bukanlah ia berasal daripada ethanol atau minuman yang memabukkan Cuma struktur kimia gula tersebut mempunyai bentuk alkohol.

Secara teknikalnya, gula alkohol bukanlah sejenis gula. Oleh sebab itu produk yang menggunakan pemanis ini akan meletakkan label “TIADA GULA TAMBAHAN” atau “SUGAR FREE”. Namun ia masih mempunyai kalori sebab itu anda tidak boleh makan dengan banyak.  


Antara contoh gula alkohol ialah Sorbitol, Xylitol, Isomalt, Mannitol, Hydrogenated Starch Hydrolysates (HSH). Kebanyakan daripada gula alkohol ini digunakan dalam farmaseutikal dan ubat gigi. 

Kekurangan?


Beberapa kekurangan pada pemanis-pemanis tiruan (artificial sweetener) ini adalah harga yang mahal dan tidak banyak ditemui di kedai-kedai kampung. Kalau pasaraya besar mungkin ada. 

Sekiranya ada ahli keluarga anda atau anda sendiri mempunyai risiko diabetis, atau ingin menguruskan badan tetapi suka untuk meminum, memakan makanan manis, boleh lah membeli produk makanan yang menggunakan pemanis tiruan ini. Atau pun membeli serbuk pemanis tiruan untuk minuman anda.

Sumber:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...