Pages

22 April 2013

Tak makan sayur boleh cacat?


Nampak menakutkan dan lebih menakutkan lagi, kecacatan ini berlaku kepada bayi yang baru lahir! Spina Bifida merupakan salah satu kecacatan Tiub Saraf yang paling kerap berlaku; 1-2 kelahiran dalam 1000 kelahiran (purata dunia)


Spina Bifida berlaku apabila saraf tunjang tidak dapat ditutup sepenuhnya semasa proses tumbesaran di dalam rahim ibu. Jika tempat yang terbuka itu terlalu besar, ia boleh menyebabkan sebahagian daripada saraf tunjang bayi terkeluar dari lubang tersebut dan cecair tulang belakang (Spinal Fluid) pula berkumpul. Proses ini berlaku semasa di dalam kandungan.


Kanak-kanak yang mengalami kecacatan ini akan menghadapi kesukaran untuk mengawal pundi kencing (poor bladder control), lumpuh separuh atau sepenuhnya, masalah penghadaman, alergik dan banyak lagi.

Percaya atau tidak, kecacatan genetik ini berisiko tinggi kepada bayi yang mempunyai  
ibu mengandung yang tidak suka makan sayur!

Risiko Spina Bifida boleh dihindari jika kita banyak memakan makanan yang mengandungi ASID FOLIK (Folic Acid). 400 mikrogram Asid Folik setiap hari sudah mampu untuk menghindari risiko kecacatan ini kepada kandungan.

Makanan berikut mengandungi 100–200 mikrogram folat/asid folik bagi setiap hidangan:
  • bayam, 1 cawan;
  • kacang bendi, setengah cawan;
  • asparagus, setengah cawan;
  • kacang black-eyed beans, 4 sudu makan;
  • betik sederhana besar.

Makanan berikut mengandungi 50–100 mikrogram folat/asid folik bagi setiap hidangan:
  • brokoli kukus, 2 pucuk;
  • buah oren saiz besar;
  • nasi putih, setengah cawan;
  • oat, setengah cawan;
  • kacang merah, setengah cawan;
  • 1 jagung saiz besar


*Para ibu yang kekurangan asid folik harus mengambil pil suplemen asid folik pada awal kehamilan (sila dapatkan nasihat doktor)



Proses pembentukan Spina Bifida ini berlaku semasa awal minggu kehamilan. Waktu itu, para ibu mengandung kemungkinan belum tahu yang mereka sedang mengandung. Sekiranya ibu mengandung tersebut kekurangan asid folik dalam badan, bayi dalam kandungan berisiko tinggi mendapat Spina Bifida. Pengambilan asid folik pada minggu ke 13 ke atas sudah tidak berguna lagi kerana waktu itu pembentukan tiub saraf sudah lengkap.

Oleh itu, para ibu disyorkan untuk memakan suplemen Asid Folik 3 bulan sebelum kehamilan dan terus mengambilnya pada 12 minggu pertama kehamilan. Terutamanya wanita yang hendak berkahwin, makanlah suplemen Asid Folik atau makanan yang kaya dengan asid folik sebelum kehamilan pertama. Mengapa? Sekiranya anak pertama mempunyai Spina Bifida, risiko kepada kehamilan seterusnya untuk mendapat kecacatan tersebut sangat tinggi!

Oleh itu, makanlah sayur dari sekarang dan pastikan anda tidak kekurangan asid folik!

"Masihkah mereka berdegil dan tidak memperhatikan bumi, berapa banyak kami tumbuhkan padanya dari berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat?" (Asy-Syu'araa' 26:7)


Sumber:
Brown, E. J., Nutrition Through The Life Cycle. p110
http://www.news-medical.net/health/Spina-Bifida-Epidemiology.aspx
http://www.news-medical.net/health/Spina-Bifida.aspx
http://www.babycenter.com.my/a1033084/mengapa-asid-folik-diperlukan
http://www.mayoclinic.com/health/spina-bifida/DS00417/DSECTION=complications

No comments:

Post a Comment