Soalan: “Sejauh mana keberkesanan air Cap Badak? Apa
perbezaannya dengan air mineral?” – Finie.
Jawapan:
Tiada kajian saintifik yang diterbitkan kepada umum berkenaan
dengan keberkesanan air Cap Badak. Ia dijual meluas di kedai-kedai runcit sebagai
ubat herba tradisional Cina yang berkesan untuk menyejukkan badan. Air Cap
Badak berbeza dengan air mineral biasa kerana ia mengandungi herba tradisional
yang tertentu untuk melegakan kepanasan.
Air Cap Badak bukanlah berasal daripada Badak Sumbu dan
tiada langsung kaitan dengan haiwan tersebut tetapi hanyalah sebuah jenama
produk. Berada di pasaran sejak tahun 30-an, Air Cap Badak mempunyai pelbagai jenama
berdaftar tetapi masih lagi mengekalkan gambar badak pada bungkusan seperti Cap
kaki Tiga, Cap Tiga Senapang, Cap Tiga Daun, CoolRhino0₂ dan macam-macam lagi. Entah
apa yang istimewa dengan nombor 3 dan haiwan ini.
Namun demikian, kesemua produk penyejuk badan ini mempunyai
persamaan dari segi ubatan yang terkandung di dalamnya iaitu Gypsum Fibrosum
dan Calcitum. Ada juga produk mengandungi Gypsum Fibrosum dan Galcareous Spar.
Apa kelebihan ubatan tradisional tersebut?
Ubatan tersebut ialah ubatan herba tradisional Cina yang
dipercayai berkesan melegakan kepanasan badan. Apakah yang dimaksudkan dengan
kepanasan badan? Menurut kepercayaan Cina, makanan yang kita makan mempunyai dua kelas. Makanan sejuk dan makanan
panas. Makanan panas seperti daging, makanan laut, makanan bergoreng dan durian
akan menyebabkan suhu badan naik jika dimakan terlalu banyak dan menyebabkan
ketidakselesaan pada badan. Oleh sebab itu pengambilan makanan harus diseimbangkan
dengan makanan sejuk seperti buah-buahan segar (selain durian) dan sayuran.
Konsep ini dikenali sebagai Makanan Yin (panas) Yang (sejuk).
Walaubagaimanapun konsep ini masih belum dapat dibuktikan secara saintifik
tetapi terbukti berkesan dengan amalan sejak zaman berzaman datuk nenek kita. [sumber]
Apabila badan kepanasan akibat pengambilan makanan panas
berlebihan, air Cap Badak boleh diminum untuk melegakannya. Selain daripada
kepanasan akibat makanan, demam, cuaca terlalu panas dan bayak lagi penyakit
lain juga menjadikan air Cap Badak pilihan pengguna untuk melegakannya.
Walaupun tiada kajian dilakukan ke atas air penyejuk badan
ini, namun saintis dan pakar perubatan ada melakukan kajian terhadap herba yang
digunakan terutamanya Gypsum Fibrosum dan Calcitum.
Gypsum Fibrosum |
Gypsum Fibrosum dikenali sebagai Shi Gao dalam bahasa Cina
merupakan batu mineral yang banyak terdapat di Asia, Eropah dan Amerika Utara. Kegunaan
utama mineral ini ialah sebagai plaster dalam bahan binaan. Namun begitu, ia
turut mempunyai kegunaan dalam perubatan tradisional masyarakat Cina khususnya.
Menurut Dr. Mao Shing Ni, pengamal tradisional Cina yang
terkenal (penulis best-seller Secrets of Longevity serta pernah dipaparkan
biografinya di dalam website Dr. Oz); khasiat Gypsum Fibrosum termasuklah dapat
melegakan haba berlebihan di dalam peparu, mengubati gusi yang bengkak,
mengurangkan simptom diabetes, demam panas, kehausan berlebihan, sakit kepala,
sakit gigi, hidung berdarah dan batuk. Ia juga boleh digunakan diluar tubuh
badan sebagai krim yang boleh mengubati eczema (ruam kulit yang gatal), melecur
dan ulser mulut.
Calcitum |
Calcitum pula dikenali sebagai Han Shui Shi dalam bahasa
Cina. Merupakan batu mineral yang terdiri daripada kalsium sulfat atau kalsium
karbonat. Digunakan dalam perubatan tradisional Cina, dipercayai dapat
melegakan demam panas, ketidakelesaan pada badan, kehausan, melancarkan fungsi jantung,
perut, buah pinggang dan banyak lagi kelebihan lain.
Terdapat beberapa kajian saintifik dilakukan ke atas
Calcitum dan ia terbukti dapat merawat Osteomyelitis pada kaki (jangkitan
bakteria di dalam tulang) dengan pengambilan tablet yang mengandungi kalsium
sulfat. Calcitum yang terdiri daripada kalsium karbonat turut digunakan dalam
bahan ubatan untuk merawat penyakit buah pinggang kronik.
Namun begitu, terdapat nasihat tentang pengambilan calcitum.
Ia tidak boleh diambil jika limpa bermasalah atau tekanan darah rendah. Ia juga
tidak boleh digunakan keatas bayi baru lahir, kanak-kanak bawah 4 tahun, ibu
mengandung atau sedang menyusukan anak sekiranya belum mendapat nasihat doktor.
Ada yang khuatir tentang pengambilan air ini boleh
menyebabkan terlebih dos serta keracunan. Tidak perlu risau kerana pengamal
perubatan Cina menyarankan pengambilan herba ini 9 hingga 30 g. Walhal air Cap
Badak hanya mengandungi tidak lebih 0.2 g. Peraturan pengambilan tertentu juga
turut disertakan pada label botol dan seharusnya dibaca oleh pengguna sebelum
meminumnya agar tidak terlebih dos.
Air Cap Badak itu hanyalah air paip?
Pada tahun 2010, akhbar kosmo ada melaporkan bahawa terdapat
pengilang air Cap Badak telah menipu pengguna kerana menggunakan air paip.
Produk mereka juga tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia. Perkara ini sangat mendukacitakan
dan menyebabkan produk air Cap Badak menjadi satu keraguan kepada pengguna ekoran
laporan ini. [sumber]
gambar atas: kod utk nombor pendaftaran ialah MAL gambar bawah: pelekat berkilat berwarna silver |
Walaubagaimanapun, anda boleh mengelak daripada membeli air
Cap Badak palsu dengan melihat kepada nombor pendaftaran produk pada label dan
memeriksa pada data Kementerian Kesihatan di sini [klik]. Sekiranya ia tersenarai,
produk tersebut inshaAllah ubat tradisional. Cara paling mudah ialah dengan melihat
pelekat kecil berkilat berwarna silver yang mempunyai lambang harimau dan huruf
KKM disertai dengan nombor siri yang bermula dengan huruf ‘D’.
Sejauh mana anda mempercayai keberkesanan air Cap Badak ini
semua bergantung daripada anda. Jika anda kurang yakin, jangan risau, berjumpalah
dengan doktor untuk mendapatkan nasihat yang lebih faktual.
Sumber:
National Pharmaceutical Control Bureau (MOH): ANTELOPE AND RHINO BRAND COOLING WATER (MAL20014256T)
Ask Doctor Mao: Gypsum (UTAMA)
Nice sharing . :) 👍
ReplyDelete