Pages

24 August 2013

Tips Kekalkan Vitamin Dalam Sayur



Sayur kaya dengan pelbagai nutrien! kalau hendak diceritakan semua pasti menjadi sebuah buku tebal. Ia mengandungi pelbagai vitamin, contohnya vitamin C berfungsi untuk menguatkan sistem imun badan, awet muda dan melawan kanser. Sayangnya, vitamin sangat rapuh dan mudah rosak hanya dengan terkena oksigen, air, haba dan cahaya matahari. Terutamanya vitamin C dan B.

Kita mahu memakan sayur tanpa mengurangkan khasiat padanya. Mungkin mustahil kerana kandungan vitamin pada sayur mula berkurang sedikit demi sedikit tatkala ia dipetik. Namun anda boleh mengurangkan kadar kehilangan vitamin pada sayur jika anda mengikuti tips berikut:

1. Makan sayur yang segar!


Kandungan nutrisi pada sayur mula berkurang apabila dipetik. Beli sayur yang paling segar dan jangan simpan lama di dalam peti sejuk. Kalau boleh, lepas beli terus masak! Kalau anda hendak menyimpan sayur, simpan di dalam pesti sejuk untuk kekalkan kesegarannya. Jangan basuh atau potong. Jika sayur anda sudah dipotong, simpan di dalam bekas yang tertutup rapat di dalam peti sejuk.

2. Potong dan basuh sayur dengan betul!


Vitamin B dan C mudah larut dan hilang di dalam air. Oleh itu, pastikan anda tidak merendam atau membasuh sayur lama. Ia akan menyebabkan kehilangan lebih banyak vitamin. Sayur yang mempunyai kulit seperti timun, petola, peria dan sebagainya tidak akan kehilangan vitamin apabila dibasuh sebelum dipotong kerana kulit padanya melindungi bahagian dalam sayur yang kaya dengan vitamin.

Oleh itu, anda dinasihatkan untuk membasuh sayur sebelum memotongnya kepada potongan kecil. Sayur yang dipotong kecil akan menyebabkan bahagian dalam sayur terdedah. Apabila dibasuh dalam keadaan sudah dipotong kecil, vitamin pada bahagian dalam sayur akan terkena air dan larut serta hilang.

Kalau boleh, elakkan memotong sayur dengan kecil apabila memasak. Haba boleh merosakkan vitamin itu. Masak terung dengan belahan besar lebih berkhasiat daripada potongan kecil. Walau apapun, basuhlah sayur kerana racun perosak yang melekat pada sayur itu sangat berbahaya kepada kesihatan!



3. Masak sihat!


Pakar pemakanan mecadangkan cara masak yang paling sihat ialah secara stim atau masak menggunakan ketuhar dalam waktu yang singkat. Cara masak yang lain seperti sup, tumis atau grill juga boleh dipertimbangkan. Kuncinya ialah jangan masak lama! Bukan sahaja sayur menjadi lembik dan tidak sedap. Khasiat padanya juga rosak.

Selain daripada teknik masak yang betul, ada cara lain untuk mendapat khasiat yang lebih banyak daripada sayur. Kebanyakan nutrien lebih berkesan apabila bekerjasama dengan nutrien yang lain. Contohnya, badan anda dapat menyerap dengan lebih banyak zat besi pada sayur jika anda makan bersama makanan yang kaya dengan vitamin C. Masak bersama tomato (vitamin C) dan sayur sawi (zat besi) sebagai cadangan. Atau lebih sedap lagi, masaklah sayur campur untuk khasiat yang berganda!

4. Makan mentah!


Ini adalah cara paling mudah dan berkhasiat. Anda boleh sediakan salad campur, tambah mayonis dan sos thousand island, siap. Hanya basuh sekejap sayur, tiada haba digunakan, insyaAllah vitamin serta khasiat lain pada sayur tidak terjejas sangat.

5. Sayur kaya karotenoid perlu dimasak?


Menurut kajian, karotenoid (vitamin A) lebih mudah diserap dalam badan apabila dimakan bersama sedikit lemak seperti minyak serta dimasak berbanding makan segar. Oleh itu, sayur seperti lobak, labu, ubi kayu, tomato atau apa sahaja sayur yang berwarna terang (oren, kuning, merah dll) lebih sesuai dimasak tumis bersama minyak jika anda ingin mendapatkan serapan karotenoid yang lebih berkesan.

sayur dan buah yang kaya dengan karotenoid














Sebagai fakta tambahan, kandungan serat pada sayur tidak akan terjejas walaupun anda memasaknya sehingga lembik.

Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan kita memakan 4 ke 5 hidangan sayur dan buah-buahan setiap hari. Bukan sahaja untuk kekal sihat dengan sistem imun yang lebih kuat, memakan lebih banyak sayur juga boleh mengurangkan risiko sakit jantung dan tekanan darah tinggi!

Mari masak dan makan sayur secara sihat!

Sumber:

14 August 2013

Cara Memanaskan Badan Dengan Betul

Mengapa perlu panaskan (warm up) dan sejukkan (cool down) badan?


Rutin ini sangat penting untuk mengurangkan risiko kecederaan dan menambah-baik lagi prestasi anda semasa bersukan. Aktiviti memanaskan dan menyejukkan badan ialah satu aktiviti yang ringan dan tidak lasak.

Warming up boleh membantu badan anda bersedia untuk melakukan aktiviti aerobik (aktiviti lasak). Dengan memanaskan badan, sistem pernafasan dan kardiovaskular akan meningkat secara berperingkat kemudian darah yang mengalir ke otot akan turut meningkat serta menaikkan suhu badan. Sekiranya kita melakukan aktiviti lasak secara mengejut, badan akan mengalami pelbagai masalah seperti kejang otot dan cedera.

Cooling down selepas bersenam pula boleh membantu menurunkan suhu otot secara berperingkat terutamanya selepas melakukan senaman berat. Aktiviti ini juga boleh membantu mengurangkan risiko otot cedera, kejang dan sakit.

Bagaimana hendak memanaskan badan (warm up)?


Lakukan pemanasan badan sebelum memulakan aktiviti. Secara amnya, fokus pada otot utama semasa memanaskan badan seperti hamstring (pangkal peha). Kemudian anda boleh melakukan senaman ringan lebih spesifik kepada jenis sukan anda. Contohnya, jika lari pecut, panaskan badan dengan berlari anak; jika aktiviti berkayak, panaskan otot bahagian lengan menggunakan pengayuh kayak; jika bersilat, panaskan otot dengan tumbukan dan tendangan dsbg. Kalau boleh, panaskan badan sehingga anda berpeluh sedikit tapi jangan sampai kepenatan!

Berikut adalah contoh gerakan memanaskan badan:
  • Panaskan badan untuk aktiviti jalan pantas: Berjalan perlahan selama 5-10 minit
  • Panaskan badan untuk aktiviti berlari: Berjalan pantas 5-10 minit
  • Panaskan badan untuk latihan kekuatan (seperti menggunakan pemberat, dumbbell dll): Gerakkan sendi dan otot mengikut pola pergerakan semasa menggunakan pemberat tetapi jangan gunakan pemberat
  • Panaskan badan untuk bermain bola sepak: Berlari anak membawa bola mengikut gerakan latihan yang dipelajari tetapi lebih perlahan
  • Panaskan badan untuk berenang: Berenang perlahan selama beberapa minit

Bagaimana hendak menyejukkan badan (cool down)?


Menyejukkan badan lebih kurang sama seperti memanaskan badan. Anda terus lakukan aktiviti sukan tetapi pada kadar yang lebih perlahan dan tidak lasak. Menyejukkan badan sangat penting untuk atlet sukan yang aktif seperti ahli marathon. Ia penting untuk menyeimbangkan aliran darah di dalam badan selepas berlari. Untuk orang biasa, menyejukkan badan hanyalah sebagai aktiviti pelengkap dalam sesebuah senaman dan bukanlah satu kewajipan.

Contoh aktiviti menyejukkan badan:
  • Untuk aktiviti berjalan pantas, sejukkan badan dengan terus berjalan tetapi perlahan 5-10 minit
  • Untuk aktiviti berlari, sejukkan badan dengan terus berjalan pantas dalam masa 5-10 minit
  • Untuk aktiviti berenang, sejukkan badan dan otot dengan berenang perlahan 5-10 minit

Berkenaan dengan Regangan (Stretching)


Regangan seeloknya dilakukan semasa menyejukkan badan selepas bersenam bukan sebelum memanaskan badan. Meregangkan otot yang sejuk sebelum memanaskan badan boleh mencederakan otot anda. Sekiranya anda ingin melakukan regangan sebelum bersenam, pastikan anda sudah memanaskan badan selama sekurang-kurangnya 5 – 10 minit.

Ayuh amalkan gaya hidup sihat dengan bersenam dengan betul!   

Sumber: