Pages

17 October 2013

Cegah Buasir Sebelum Semakin Parah




Masalah buasir pada golongan dewasa adalah perkara biasa, namun tidak ramai yang sanggup bercerita mengenai masalah pembuangan air besar dialami disebabkan ia berkaitan dengan bahagian sulit. Mengabaikan masalah buasir tanpa mengambil langkah pencegahan boleh menyebabkan ia menjadi teruk lagi.

Buasir atau hemoroid adalah pembengkakan pada vena (saluran darah) yang terletak di bahagian rektum dan dubur. Apabila vena ini membonjol keluar ia mengganggu dan menyebabkan membran (lapisan kulit) di sekitarnya membengkak, terasa sakit, perit, gatal dan berdarah.

ppp
Pangkal dubur; vena (berwarna biru) bengkak

Kewujudan tisu buasir adalah satu komponen normal dalam anatomi badan manusia. Ia bertindak sebagai ‘kusyen’ yang kaya dengan saluran darah di dubur dan menjadi ‘pelapik termampat’ untuk membenarkan dubur tertutup dengan ketat.

Apabila seseorang mengalami sembelit dan cuba meneran najis yang keras dengan kuat ketika membuang air besar, struktur terbabit akan membengkak dan boleh terjulur keluar dari dubur terutamanya semasa atau selepas membuang air besar. Ia juga boleh pecah dan menyebabkan pendarahan.

Saiz buasir boleh jadi sekecil-kecil kacang pis sehinggalah sebesar saiz anggur atau lebih besar lagi. Berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan sekiranya anda mengalami pendarahan kerana dikhuatiri ia bukan buasir tetapi kanser kolorektal (kanser usus besar dan dubur).

Antara Tanda-tanda dan Gejala

  • Gumpalan lembut atau gumpalan yang kecil atau besar  boleh dirasai sekitar bahagian dubur.
  • Rasa gatal atau pedih di sekitar dubur.
  • Pendarahan, titisan darah merah cerah terutamanya selepas atau semasa membuang air besar diikuti rasa perit dan sakit

Antara Penyebab Utama yang Meningkatkan Risiko

  • Sentiasa duduk
  • Meneran (ketika najis keras atau sembelit)
  • Cirit-birit
  • Duduk mencangkung di dalam tandas terlalu lama
  • Batuk yang teruk
  • Bersalin
  • Sentiasa mengangkat barangan berat
  • Pengamalan seks melalui dubur oleh golongan heteroseksual dan homoseksual.

Risiko buasir meningkat semasa mengandung?

Mengandung menyebabkan anda lebih mudah mendapat buasir. Masalah ini kebiasaannya muncul semasa minggu ke 27 sehingga melahirkan. Sekiranya anda mendapat buasir sebelum mengandung, kemungkinan anda akan mengalaminya semula semasa mengandung.

Buasir juga boleh terbentuk semasa bersalin kerana meneran diperlukan pada waktu itu. Rahim yang semakin membesar memberikan tekanan pada bahagian vena pada usus besar. Tambahan pula, masalah sembelit yang sering berlaku dalam kalangan ibu mengandung meningkatkan lagi risiko mendapat buasir. 

Selain itu, hormon progesteron yang meningkat semasa mengandung menyebabkan saluran darah melebar (relax) dan menyebabkan vena lebih muda bengkak. Hormon ini juga menyumbangkan kepada masalah sembelit kerana melambatkan pergerakan hadaman pada usus.

Kebiasaannya, buasir yang terbentuk semasa mengandung akan sembuh selepas anda bersalin terutamanya jika anda mengambil langkah pencegahan dengan lebih berhati-hati

Langkah Pencegahan

  • Elak sembelit!
  1. Makan makanan yang tinggi serat seperti sayuran, buah betik, pisang dan pelbagai buah lain serta makanan gandum penuh seperti roti whole meal, biskut oat, minuman oat dan sebagainya.
  2. Minum banyak air setiap hari (8-10 gelas).
  3. Dapatkan ubat daripada doktor sekiranya anda mengalami sembelit yang berpanjangan
  • Jangan tunggu atau tahan sekiranya anda ingin membuang air besar. Cuba untuk tidak meneran dan jangan duduk terlalu lama pada mangkuk tandas kerana ia akan memberikan tekanan pada kawasan dubur.
  • Lakukan Senaman Kegel kerana ia akan menguatkan otot pada kawasan dubur. Angkat kawasan pelvik selama 3 saat dan baring semula 3 saat. Lakukan 10-15 kali selama beberapa kali setiap hari.
  • Hembuskan nafas keluar apabila anda ketegangan atau ketika mengangkat sesuatu. Jangan menahan nafas anda.
  • Kurangkan duduk atau berdiri statik terlalu lama, ini akan memberikan tekanan kepada kawasan rektum anda. Sekiranya pekerjaan anda memerlukan  anda duduk lama, bangun dan bergeraklah untuk beberapa minit setiap jam.

postnatal-1024x665
Senaman Kagel

Pencegahan awal amat penting untuk proses penyembuhan buasir yang lebih cepat dan mengelakkan ia datang semula. Jangan tunggu sehingga teruk baru ingin berjumpa dengan doktor! 

****Artikel ini diitulis oleh UbatPensil di KeluargaBaru.com (artikel 10 Okt 2013) kemudian diterbitkan semula disini

Sumber: 

No comments:

Post a Comment