Pages

09 August 2014

Berita: 5 Fakta Virus Ebola yang Anda Perlu Tahu



Virus Ebola yang menular di Barat Afrika (Guinea, Liberia, Sierra Leone dan Nigeria) pada tahun ini telah meragut lebih kurang 900 nyawa setakat ini selepas tercetusnya di Guinea pada Febuari lepas. Centers for Disease Control and Prevention (CDC) telah menghantar 50 pakar penyakit berjangkit di negara-negara terbabit untuk mengawal wabak virus Ebola.

Sejauh mana anda tahu tentang penyakit ini? Jom ketahui 5 fakta tentang Ebola!

1. Apa itu Penyakit Virus Ebola (EVD)?

Penyakit Virus Ebola (Ebola Virus Disease - EVD) dahulunya dikenali sebagai Demam Berdarah Ebola merupakan demam yang boleh membawa maut. Wabak ini mencatat kadar kematian yang sangat tinggi (lebih 90%) dan boleh menjangkiti manusia serta haiwan primat seperti monyet. 

2. Asal Usul Virus Ebola

Nama virus ini berasal daripada sebuah sungai di Congo, Afrika iaitu Sungai Ebola. Ia dipercayai berpunca daripada sungai tersebut dan ditemui pada tahun 1976. Bagaimana wabak ini menular semula tidak diketahui punca sebenarnya. Namun begitu, ia dipercayai bermula dengan setuhan pada haiwan yang sudah dijangkiti virus Ebola - kemungkinan besar daripada kelawar. 


3. Bagaimana Penyakit Virus Ebola Berjangkit?

Virus ini boleh merebak melalui sentuhan dengan darah, cecair pada tubuh, organ haiwan/manusia yang sudah dijangkiti. Ia boleh berjangkit melalui luka, persetubuhan, air liur (bersin, berkongsi minuman) atau peluh.

Oleh sebab itu, untuk mengelak dari penularan virus, orang yang sihat tidak boleh berhubung dengan pesakit. Pihak perubatan akan memakai baju khas menutupi seluruh tubuh mereka. Pesakit juga akan diasingkan dalam sebuah bilik khas. Apapun yang digunakan pesakit tidak boleh digunakan oleh orang yang sihat.

4. Apa yang Dilakukan oleh Virus Ebola pada Tubuh Manusia?

Virus ini boleh beredar ke seluruh badan melalui sistem saluran darah manusia. Ia akan merosakkan satu organ ke satu organ yang lain, menyebabkan pendarahan dalaman. Ia akan menyebabkan tekanan darah pesakit jatuh sehingga menyebabkan kegagalan sistem dalam badan.

5. Gejala dan Tanda-Tanda Penyakit Virus Ebola


Gejala awal:


  • Demam panas secara tiba-tiba
  • Lemah satu badan
  • Sakit Otot
  • Sakir kepala dan sakit tekak

Apabila semakin teruk: 


  • Muntah berdarah, 
  • Cirit-birit yang berdarah, 
  • Ruam, 
  • Buah pinggang dan hati gagal berfungsi, 
  • Pendarahan dalaman atau rongga badan

Ruam dan pendarahan dalaman

6. Virus Ebola masih tidak menemui sebarang Vaksin atau Penawar

Disebabkan wabak virus ini jarang berlaku, kajian berkenaannya masih kurang berkembang. Beberapa vaksin dan ubatan masih dalam kajian namun belum diuji ke atas manusia. Setakat ini hanya rawatan untuk mengawal gejala penyakit ini sahaja yang dilakukan dan masih belum ada vaksin yang berlesen dikeluarkan.

***
Alhamdulillah, setakat ini tiada lagi kes virus Ebola berlaku di Malaysia. Disebabkan virus ini berasal daripada luar negara iaitu benua Afrika, kemungkinan untuk ia memasuki ke Malaysia adalah rendah. Jika pelawat dari luar negara hendak datang ke Malaysia, tidak ada penerbangan langsung daripada Afrika. Biasanya mereka akan datang menerusi Timur Tengah sebagai pusat utama.

Pada waktu ini Kementerian Kesihatan Malaysia telah memperketatkan pengesanan dan kawalan masuk antarabangsa dan melakukan saringan ke atas pelawat yang tiba. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dilengkapi mekanisme imbasan suhu bagi mengimbas suhu badan penumpang.

Kementerian Pelajaran dinasihati untuk menyaring pelajar asing yang pulang ke negara Afrika. Kementerian Luar diminta turut menasihati rakyat Malaysia yang berada negara Afrika yang terlibat mengenai EVD, serta rakyat Malaysia yang akan ke negara-negara tersebut untuk lebih berhati-hati dengan penularan wabak ini.

Sumber:
WHO: Ebola Virus Disease
TIMES
BERNAMA
themalaysianinsider
Wanista 

No comments:

Post a Comment