Pages

18 November 2014

Sakit Gastrik dan 5 Tips Pemakanan Sihat


Sakit gastrik atau gastritis merupakan sejenis penyakit yang semakin ramai orang mengalaminya terutamanya golongan yang berumur 18-30 tahun.
Gastritis adalah keradangan atau bengkak pada dinding perut yang akan menyebabkan perut sakit.

Sekiranya seseorang mengalami gastritis jangan risau, ia tidak bermaksud mereka mempunyai ulser pada dinding perut tetapi hanyalah keradangan. Namun begitu, sekiranya penjagaan makanan diabaikan, ia juga boleh membawa kepada ulser perut atau kanser.

Apabila dinding perut mengalami keradangan/bengkak – ditambah pula lapisan yang melindungi dinding perut semakin nipis – bahan kimia yang dihasilkan perut untuk tujuan pencernaan (jus gastrik yang berasid tinggi) akan menghakis dinding perut tersebut sehinggalah menyebabkan kesakitan yang amat sangat.

Tanda-tanda Gastritis

  • Mual dan kerap sakit perut
  • Perut terasa kembung
  • Sakit di bahagian abdomen
  • Muntah
  • Perut senak
  • Pedih ulu hati atau di bahagian perut di antara waktu makan atau pada waktu malam
  • Sedu
  • Hilang selera makan

Sebab-Sebab Gastritis

Ada beberapa kemungkinan dinding perut menjadi bengkak atau gastritis:

Jangkitan kuman

Kuman iaitu Helicobacter Pylori yang boleh hidup pada dinding perut akan menyebabkan dinding perut mengalami jangkitan sehingga menyebabkan keradangan. Sekiranya bakteria ini tidak dihapuskan, jangkitan tersebut boleh menyebabkan ulser atau kanser perut pada sesetengah orang. Ubat gastrik yang sesuai dapat membunuh bakteria ini.

Bakteria ini boleh menjangkiti perut seawal usia kanak-kanak (4 – 5 tahun) dan gastritis boleh berkekalan sehingga seumur hidup sekiranya tiada antibiotik yang mencegahnya

Sistem Pertahanan Badan yang Melawan Sendiri Dinding Perut

Tubuh badan kita boleh menghasilkan antibodi untuk melawan kuman. Namun, kadangkala kegagalan sistem pertahanan badan kita juga menyebabkan ia melawan organ dalam badan sehingga menyebabkan kecederaan pada organ tersebut.

Sistem pertahanan badan akan mengalami masalah sekiranya pesakit mengalami penyakit yang tertentu seperti diabetes, arthritis, penyakit thyroid dan sebagainya.  Sistem pertahanan yang abnormal ini boleh menyerang dinding perut sehingga menyebabkan keradangan.

Penggunaan Aspirin dan Paracetamol/Panadol yang kerap

Kedua-dua ubatan ini boleh menyebabkan sejenis bahan pelindung dinding perut yang dikenali sebagai prostaglandin berkurangan. Jika ubatan ini digunakan dengan kerap, dalam jangka masa yang panjang akan menyebabkan gastritis.

Sebab-sebab di atas adalah antara penyebab utama gastritis namun ada banyak lagi sebab-sebab lain yang tidak diketahui dengan jelas puncanya.

Sekiranya anda disahkan menghidapi gastritis, minuman berkafein, alkohol dan merokok adalah makanan pantang yang boleh menyebabkan gastritis bertambah teruk. Stres juga antara sebab yang lain.

Bakteria yang menyebabkan gastritis

Tips-tips pemakanan sihat untuk Gastritis

  1. Susu dan Krim (cth: Yogurt): Susu boleh bertindak sebagai lapisan yang melindungi dinding perut daripada gastrik jus yang berasid tinggi. Minum di awal pagi adalah berkesan tetapi ia hanya akan memberikan perlindungan yang sementara.
  2. Elakkan meminum kopi atau minuman berkafein (teh, milo, cola): Minuman tersebut akan meningkatkan kadar penghasilan jus gastrik yang berasid tinggi.
  3. Makanan pedas (cth: black pepper, cili): Walaupun lidah anda merasakan makanan tersebut kurang pedas, namun perut anda akan merasa sebaliknya. Makanan yang pedas – walaupun tidak terlalu pedas – boleh menghakis dinding perut sehingga menyebabkan kesakitan
  4. Jangan tinggalkan makanan utama seharian (Sarapan/Makan Tengahari/Makan Malam). Sekiranya perut dibiarkan kosong kerana tidak diisi, jus gastrik yang terhasil akan menghakis dinding perut kerana tiada makanan yang hendak dihadam. Oleh itu, jangan skip makan!
  5. Makan makanan ber-antioksidan tinggi, omega 3 dan phytochemical lain untuk mengurangkan keradangan dinding perut: 

  • Contoh makanan yang mengandungi antioksidan dan phytochemical yang tinggi – buah-buahan seperti oren, papaya, kiwi, mangga masak, tembikai dll. Kebiasaannya buah yang tinggi vitamin C)
  • Makanan yang tinggi Omega 3 – Ikan Salmon, Ikan Sardin, Ikan Tuna (Tongkol), produk yang diperkaya dengan omega 3 seperti telur, majerin, susu, yogurt, roti, bijirin sarapan. Sayuran seperti kalian, daun parsli, bayam.

Dinding perut membengkak

Mitos tentang gastritis


Tidak boleh makan makanan masam

Menurut kajian, makanan masam tidak akan menyebabkan keradangan pada dinding perut bertambah teruk. Benar, makanan masam mempunyai asid yang tinggi. Tetapi tidak terlalu tinggi berbanding asid di dalam perut sehingga mengganggu proses penyembuhan.
Namun, sekiranya anda merasakan dengan memakan makanan masam boleh menyebabkan perut rasa senak, anda boleh tinggalkan makanan tersebut.

Makan sedikit tetapi banyak kali

Fakta ini agak kontrovesi dan banyak pendapat daripada pakar pemakanan. Ada yang bersetuju, ada juga yang tidak. Makan sedikit mungkin menjadikan perut lebih selesa kerana perut tidak perlu bekerja kuat memproses. Namun begitu, makan terlalu kerap boleh menyebabkan jus gastrik yang berasid tinggi semakin banyak dihasilkan. Ia bergantung kepada kesesuaian perut anda

Secara kesimpulannya, sekiranya anda tidak mahu gastritis menyerang, pastikan anda memakan makanan yang berkhasiat, mengikuti pantang larang serta memakan ubatan yang diberikan doktor. Perut sakit akan berlaku sekiranya anda tidak disiplin dalam penjagaan makanan anda. Jangan lupa, banyakkan berdoa kepada Allah agar sentiasa dikurniakan kesihatan. Insya Allah! 

Sumber: 
Nota Kelas

2 comments: