Sayur kaya dengan pelbagai nutrien! kalau hendak diceritakan
semua pasti menjadi sebuah buku tebal. Ia mengandungi pelbagai vitamin,
contohnya vitamin C berfungsi untuk menguatkan sistem imun badan, awet muda dan melawan
kanser. Sayangnya, vitamin sangat rapuh dan mudah rosak hanya
dengan terkena oksigen, air, haba dan cahaya matahari. Terutamanya vitamin C dan B.
Kita mahu memakan sayur tanpa mengurangkan khasiat padanya.
Mungkin mustahil kerana kandungan vitamin pada sayur mula berkurang sedikit
demi sedikit tatkala ia dipetik. Namun anda boleh mengurangkan kadar kehilangan
vitamin pada sayur jika anda mengikuti tips berikut:
1. Makan sayur yang segar!
Kandungan nutrisi pada sayur mula berkurang apabila dipetik.
Beli sayur yang paling segar dan jangan simpan lama di dalam peti sejuk. Kalau
boleh, lepas beli terus masak! Kalau anda hendak menyimpan sayur, simpan di
dalam pesti sejuk untuk kekalkan kesegarannya. Jangan basuh atau potong. Jika sayur anda sudah dipotong,
simpan di dalam bekas yang tertutup rapat di dalam peti sejuk.
2. Potong dan basuh sayur dengan betul!
Vitamin B dan C mudah larut dan hilang di dalam air. Oleh itu,
pastikan anda tidak merendam atau membasuh sayur lama. Ia akan menyebabkan
kehilangan lebih banyak vitamin. Sayur yang mempunyai kulit seperti timun,
petola, peria dan sebagainya tidak akan kehilangan vitamin apabila dibasuh
sebelum dipotong kerana kulit padanya melindungi bahagian dalam sayur yang kaya
dengan vitamin.
Oleh itu, anda dinasihatkan untuk membasuh sayur sebelum
memotongnya kepada potongan kecil. Sayur yang dipotong kecil akan menyebabkan
bahagian dalam sayur terdedah. Apabila dibasuh dalam keadaan sudah dipotong
kecil, vitamin pada bahagian dalam sayur akan terkena air dan larut serta
hilang.
Kalau boleh, elakkan memotong sayur dengan kecil apabila memasak. Haba boleh merosakkan vitamin itu. Masak terung dengan
belahan besar lebih berkhasiat daripada potongan kecil. Walau apapun, basuhlah sayur kerana racun perosak yang
melekat pada sayur itu sangat berbahaya kepada kesihatan!
3. Masak sihat!
Pakar pemakanan mecadangkan cara masak yang paling sihat ialah
secara stim atau masak menggunakan ketuhar dalam waktu yang singkat. Cara masak
yang lain seperti sup, tumis atau grill juga boleh dipertimbangkan. Kuncinya ialah
jangan masak lama! Bukan sahaja sayur menjadi lembik dan tidak sedap. Khasiat padanya
juga rosak.
Selain daripada teknik masak yang betul, ada cara lain untuk
mendapat khasiat yang lebih banyak daripada sayur. Kebanyakan nutrien lebih
berkesan apabila bekerjasama dengan nutrien yang lain. Contohnya, badan anda dapat
menyerap dengan lebih banyak zat besi pada sayur jika anda makan bersama
makanan yang kaya dengan vitamin C. Masak bersama tomato (vitamin C) dan sayur
sawi (zat besi) sebagai cadangan. Atau lebih sedap lagi, masaklah sayur campur
untuk khasiat yang berganda!
4. Makan mentah!
Ini adalah cara paling mudah dan berkhasiat. Anda boleh sediakan
salad campur, tambah mayonis dan sos thousand island, siap. Hanya basuh
sekejap sayur, tiada haba digunakan, insyaAllah vitamin serta khasiat lain pada
sayur tidak terjejas sangat.
5. Sayur kaya karotenoid perlu dimasak?
Menurut kajian, karotenoid (vitamin A) lebih mudah diserap dalam badan apabila dimakan bersama
sedikit lemak seperti minyak serta dimasak berbanding makan segar. Oleh itu, sayur
seperti lobak, labu, ubi kayu, tomato atau apa sahaja sayur yang berwarna terang
(oren, kuning, merah dll) lebih sesuai dimasak tumis bersama minyak jika anda
ingin mendapatkan serapan karotenoid yang lebih berkesan.
sayur dan buah yang kaya dengan karotenoid |
Sebagai fakta tambahan, kandungan serat pada sayur tidak akan terjejas walaupun anda memasaknya sehingga lembik.
Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan kita memakan 4 ke
5 hidangan sayur dan buah-buahan setiap hari. Bukan sahaja untuk kekal sihat
dengan sistem imun yang lebih kuat, memakan lebih banyak sayur juga boleh
mengurangkan risiko sakit jantung dan tekanan darah tinggi!
Mari masak dan makan sayur secara sihat!
Sumber:
No comments:
Post a Comment