Showing posts with label Soal Jawab. Show all posts
Showing posts with label Soal Jawab. Show all posts

23 July 2013

Q&A: Jerawat! Apakah Cara Pencegahannya?



Soalan: Apakah cara mencegah dan merawat masalah jerawat? - Deyla

Jawapan:

Masalah jerawat berlaku kepada remaja yang baru baligh. Masalah ini biasanya terjadi sewaktu berumur 13 ke 17 tahun. Jerawat tumbuh di kawasan dahi dan bahagian atas pipi serta berminyak. Namun begitu, jerawat yang tumbuh akhirnya akan berkurangan apabila meningkat dewasa, mencecah umur 20 ke atas. Masalah jerawat semasa remaja adalah normal.

Ia terjadi kepada kebanyakan remaja kerana semasa baligh, hormon tidak seimbang akibat perubahan drastik pada fizikal seperti kedatangan haid, suara bertukar garau dan sebagainya. Jerawat ini dikenali sebagai jerawat Remaja (teen acne).

Bagaimana pula dengan orang dewasa yang berjerawat? 40-55% orang dewasa kurang bernasib baik kerana masih mengalami masalah jerawat walaupun sudah berumur 20 ke 40 tahun. Jerawat dewasa (Adult acne) sangat berbeza dengan jerawat remaja kerana;
  • Jerawat dewasa tidak semestinya terjadi akibat kulit muka terlalu berminyak. Ada juga orang dewasa yang mengalami kulit kering tetapi berjerawat dan mengalami dehidrasi pada kulit (kekurangan air). Remaja pula berjerawat akibat kalenjar minyak pada kulit muka mengeluarkan minyak berlebihan kerana hormon tidak seimbang.
  • Hormon stress (seperti Cortisol) yang dihasilkan dalam tubuh orang dewasa semasa tertekan boleh menyebabkan masalah jerawat
  • Jerawat dewasa lebih lambat sembuh, lambat hilang dan boleh mengakibatkan kesan jerawat menjadi tompok hitam
  • Dewasa kebiasaannya berjerawat di kawasan rahang, dagu, dan separuh muka bahagian bawah.

Bagaimana caranya hendak mengatasi atau mengurangkan masalah jerawat?

  • Kurangkan stres! Bersenam, pergi ke spa, keluar bersama kawan dan keluarga, bersiar-siar, baca Quran, solat sunat boleh mengurangkan stres.
  • Hentikan tabiat suka menyentuh muka atau memicit jerawat! Ia boleh membuatkan bakteria daripada tangan merebak dan menyebabkan jerawat semakin teruk.
  • Barangan yang selalu terkena muka anda seperti telefon bimbit juga boleh menyebabkan jangkitan kuman berlaku kerana ia penuh dengan bakteria. Dinasihatkan untuk memakai Head Set jika kerap bertelefon
  • Jangan tidur dalam keadaan bermekap! Mengapa?

Pada pukul 10 malam, kulit memulakan proses baik pulih dan pembuangan toksik melalui liang-liang kulit. Mekap boleh menyebabkan liang kulit tersumbat dan mengganggu proses baik pulih.
Penjagaan rapi kulit sangat penting pada waktu malam. Setiap malam, amalkan langkah berikut:

1.       Bersihkan muka menggunakan sabun pembersih muka yang bersesuaian
2.       Sapu ubat jerawat pada jerawat anda
3.       Lindungi wajah anda dengan conditioner dan moisturizer untuk tujuan melembapkan

Sekiranya anda tidak sempat atau terlalu letih melakukan 3 langkah di atas, pastikan anda melakukannya pada awal pagi selepas bangun.

Sisa toksik dikeluarkan terus melalui kulit pada waktu malam semasa anda tidur. Oleh sebab itu, pada waktu pagi wajah anda tidak bersih akibat toksik yang dibebaskan semalaman. Penjagaan rapi wajah pada waktu pagi juga sangat penting.



  • Sekiranya jerawat tumbuh di atas kepala atau belakang telinga, kemungkinan besar anda tidak membilas rambut dengan bersih
  • Pastikan bantal anda sentiasa bersih dan selalu di basuh kerana kotoran, kelemumur atau kulit mati dari kepala mudah berkumpul di bantal dan boleh menyebabkan jangkitan kuman di muka, menjadikan jerawat bertambah teruk.
  • Gunakan produk penjagaan kulit yang memang dikhaskan untuk orang dewasa. Kebanyakan orang dewasa tersilap membeli produk. Mereka membeli krim khas untuk remaja yang berfungsi untuk merawat kulit yang berminyak. Ini akan menyebabkan kulit menjadi lebih kering dan tidak sihat.
  • Beli alat mekap atau produk penjagaan rambut yang berlabel ‘bebas minyak’ (oil free) serta bertanda ‘non comodegonic’ atau ‘non acnegenic. Ini bermaksud produk tersebut tidak akan menyebabkan liang kulit anda tersumbat dan dapat mengurangkan risiko  berjerawat.

Berikut adalah antara Formulasi dan Bahan Penting yang harus ada pada pada produk kerana terbukti berkesan merawat jerawat dewasa:

  • Retinoic Acid (Vitamin A): mengurangkan keradangan pada kulit yang boleh menyebabkan jerawat muncul
  • Salicyclic Acid, Lactic Acis, Sulfur, Papain (sejenis enzim papaya): ‘Mencerna’ kulit mati dan jerawat serta membersihkan liang roma untuk mengatasi jangkitan kuman
  • Benzoyl Peroxide: Berkesan untuk merawat tompok hitam dan mengawal kalenjar minyak.

Jika formulasi di atas tidak dapat merawat jerawat anda atau jerawat anda bertambah teruk, anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor pakar kulit/dermatologist untuk mendapatkan nasihat dan formulasi yang sesuai untuk jenis kulit anda.


Harap dapat membantu!

Sumber:

HANTAR SEBARANG SOALAN ANDA DI TWITTER [klikATAU FACEBOOK [klikDENGAN HASHTAG #Q&A. ANDA AKAN DIMAKLUMKAN APABILA JAWAPAN TELAH DIBERIKAN DI DALAM BLOG INI  :)

18 July 2013

Q&A: Ada apa dengan Air Cap Badak?

Soalan: “Sejauh mana keberkesanan air Cap Badak? Apa perbezaannya dengan air mineral?” – Finie.


Jawapan:

Tiada kajian saintifik yang diterbitkan kepada umum berkenaan dengan keberkesanan air Cap Badak. Ia dijual meluas di kedai-kedai runcit sebagai ubat herba tradisional Cina yang berkesan untuk menyejukkan badan. Air Cap Badak berbeza dengan air mineral biasa kerana ia mengandungi herba tradisional yang tertentu untuk melegakan kepanasan.

Air Cap Badak bukanlah berasal daripada Badak Sumbu dan tiada langsung kaitan dengan haiwan tersebut tetapi hanyalah sebuah jenama produk. Berada di pasaran sejak tahun 30-an, Air Cap Badak mempunyai pelbagai jenama berdaftar tetapi masih lagi mengekalkan gambar badak pada bungkusan seperti Cap kaki Tiga, Cap Tiga Senapang, Cap Tiga Daun, CoolRhino0₂ dan macam-macam lagi. Entah apa yang istimewa dengan nombor 3 dan haiwan ini.

Namun demikian, kesemua produk penyejuk badan ini mempunyai persamaan dari segi ubatan yang terkandung di dalamnya iaitu Gypsum Fibrosum dan Calcitum. Ada juga produk mengandungi Gypsum Fibrosum dan Galcareous Spar.

Apa kelebihan ubatan tradisional tersebut?

Ubatan tersebut ialah ubatan herba tradisional Cina yang dipercayai berkesan melegakan kepanasan badan. Apakah yang dimaksudkan dengan kepanasan badan? Menurut kepercayaan Cina, makanan yang kita makan mempunyai dua kelas. Makanan sejuk dan makanan panas. Makanan panas seperti daging, makanan laut, makanan bergoreng dan durian akan menyebabkan suhu badan naik jika dimakan terlalu banyak dan menyebabkan ketidakselesaan pada badan. Oleh sebab itu pengambilan makanan harus diseimbangkan dengan makanan sejuk seperti buah-buahan segar (selain durian) dan sayuran.

Konsep ini dikenali sebagai Makanan Yin (panas) Yang (sejuk). Walaubagaimanapun konsep ini masih belum dapat dibuktikan secara saintifik tetapi terbukti berkesan dengan amalan sejak zaman berzaman datuk nenek kita. [sumber

Apabila badan kepanasan akibat pengambilan makanan panas berlebihan, air Cap Badak boleh diminum untuk melegakannya. Selain daripada kepanasan akibat makanan, demam, cuaca terlalu panas dan bayak lagi penyakit lain juga menjadikan air Cap Badak pilihan pengguna untuk melegakannya.

Walaupun tiada kajian dilakukan ke atas air penyejuk badan ini, namun saintis dan pakar perubatan ada melakukan kajian terhadap herba yang digunakan terutamanya Gypsum Fibrosum dan Calcitum.

Gypsum Fibrosum

Gypsum Fibrosum dikenali sebagai Shi Gao dalam bahasa Cina merupakan batu mineral yang banyak terdapat di Asia, Eropah dan Amerika Utara. Kegunaan utama mineral ini ialah sebagai plaster dalam bahan binaan. Namun begitu, ia turut mempunyai kegunaan dalam perubatan tradisional masyarakat Cina khususnya.

Menurut Dr. Mao Shing Ni, pengamal tradisional Cina yang terkenal (penulis best-seller Secrets of Longevity serta pernah dipaparkan biografinya di dalam website Dr. Oz); khasiat Gypsum Fibrosum termasuklah dapat melegakan haba berlebihan di dalam peparu, mengubati gusi yang bengkak, mengurangkan simptom diabetes, demam panas, kehausan berlebihan, sakit kepala, sakit gigi, hidung berdarah dan batuk. Ia juga boleh digunakan diluar tubuh badan sebagai krim yang boleh mengubati eczema (ruam kulit yang gatal), melecur dan ulser mulut.

Calcitum
Calcitum pula dikenali sebagai Han Shui Shi dalam bahasa Cina. Merupakan batu mineral yang terdiri daripada kalsium sulfat atau kalsium karbonat. Digunakan dalam perubatan tradisional Cina, dipercayai dapat melegakan demam panas, ketidakelesaan pada badan, kehausan, melancarkan fungsi jantung, perut, buah pinggang dan banyak lagi kelebihan lain.

Terdapat beberapa kajian saintifik dilakukan ke atas Calcitum dan ia terbukti dapat merawat Osteomyelitis pada kaki (jangkitan bakteria di dalam tulang) dengan pengambilan tablet yang mengandungi kalsium sulfat. Calcitum yang terdiri daripada kalsium karbonat turut digunakan dalam bahan ubatan untuk merawat penyakit buah pinggang kronik.

Namun begitu, terdapat nasihat tentang pengambilan calcitum. Ia tidak boleh diambil jika limpa bermasalah atau tekanan darah rendah. Ia juga tidak boleh digunakan keatas bayi baru lahir, kanak-kanak bawah 4 tahun, ibu mengandung atau sedang menyusukan anak sekiranya belum mendapat nasihat doktor.

Ada yang khuatir tentang pengambilan air ini boleh menyebabkan terlebih dos serta keracunan. Tidak perlu risau kerana pengamal perubatan Cina menyarankan pengambilan herba ini 9 hingga 30 g. Walhal air Cap Badak hanya mengandungi tidak lebih 0.2 g. Peraturan pengambilan tertentu juga turut disertakan pada label botol dan seharusnya dibaca oleh pengguna sebelum meminumnya agar tidak terlebih dos.

Air Cap Badak itu hanyalah air paip?

Pada tahun 2010, akhbar kosmo ada melaporkan bahawa terdapat pengilang air Cap Badak telah menipu pengguna kerana menggunakan air paip. Produk mereka juga tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan  Malaysia. Perkara ini sangat mendukacitakan dan menyebabkan produk air Cap Badak menjadi satu keraguan kepada pengguna ekoran laporan ini. [sumber]

gambar atas: kod utk nombor pendaftaran ialah MAL
gambar bawah: pelekat berkilat berwarna silver 
Walaubagaimanapun, anda boleh mengelak daripada membeli air Cap Badak palsu dengan melihat kepada nombor pendaftaran produk pada label dan memeriksa pada data Kementerian Kesihatan di sini [klik]. Sekiranya ia tersenarai, produk tersebut inshaAllah ubat tradisional. Cara paling mudah ialah dengan melihat pelekat kecil berkilat berwarna silver yang mempunyai lambang harimau dan huruf KKM disertai dengan nombor siri yang bermula dengan huruf ‘D’.

Sejauh mana anda mempercayai keberkesanan air Cap Badak ini semua bergantung daripada anda. Jika anda kurang yakin, jangan risau, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan nasihat yang lebih faktual.

Sumber:
National Pharmaceutical Control Bureau (MOH): ANTELOPE AND RHINO BRAND COOLING WATER (MAL20014256T) 
Ask Doctor Mao: Gypsum  (UTAMA)  


HANTAR SEBARANG SOALAN ANDA DI TWITTER [klikATAU FACEBOOK [klikDENGAN HASHTAG #Q&A. ANDA AKAN DIMAKLUMKAN APABILA JAWAPAN TELAH DIBERIKAN DI DALAM BLOG INI  :)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...