Pages

30 June 2013

Kolesterol Jahat vs Kolesterol Baik

Mana satu yang tinggi kolesterol?

Kolesterol adalah sejenis bahan di dalam badan yang dihasilkan oleh hati dan juga boleh di dapati pada haiwan. Tumbuhan tidak mempunyai hati oleh itu mereka tidak mempunyai kolesterol. Apabila makanan berkolesterol di makan, kolesterol akan diserap di usus dan dibawa ke hati. Kolesterol tidak dapat bergerak di dalam saluran darah kerana ia tidak larut di dalam darah. Oleh itu, sejenis protein (phospolipid) yang larut di dalam darah akan bergabung dengan kolesterol agar kolesterol boleh bergerak dan dibawa ke hati untuk diproses. Protein ini adalah umpama kereta membawa penumpang (kolesterol).

hati juga hasilkan kolesterol sendiri dari bahan-bahan lain

Sampai di hati, kolesterol akan diproses menjadi hempedu, hormon, HDL, LDL dan banyak lagi untuk keperluan badan. Kolesterol sangat penting untuk menghasilkan hormon dan sebagai bahan asas utama dalam pembentukan dinding sel

KOLESTEROL + PROTEIN PEMBAWA
Merah (bentuk kacang): Kolesterol. Kuning: Lemak. Biru: Phospholipid/protein
(Kolesterol yang tak larut dalam darah di'simpan' dalam protein (kereta)

Dua jenis kolesterol yang sangat popular dan sentiasa disebut-sebut ialah LDL (Low Density Lipoprotein) dan HDL (High Density Lipoprotein). LDL dan HDL bukanlah sejenis kolesterol tetapi gabungan protein pembawa (kereta) dan kolesterol. Jangan lupa, tanpa protein pembawa, kolesterol tidak boleh larut di dalam darah sekaligus tidak boleh dibawa ke hati dan seluruh badan. 

Protein membawa kolesterol di dalam saluran darah

LDL berfungsi untuk menghantar kolesterol ke sel-sel di seluruh badan. HDL pula bertindak untuk mengutip kolesterol lebihan yang tidak diperlukan oleh sel pulang semula ke hati untuk disimpan sebagai kegunaan masa hadapan. 

Nama popular LDL adalah kolesterol jahat. LDL dicemuh sedemikian kerana fungsinya yang menghantar kolesterol ke seluruh badan. Asalnya ia baik. Tanpanya, bagaimana badan hendak mendapat kolesterol dari hati untuk membuat dinding sel? Tanpa sel, badan tidak akan berfungsi! Namun begitu, jika tahap LDL sangat tinggi di dalam darah, ia akan ‘menggila’ dengan menghantar banyak kolesterol ke seluruh badan sehingga berlebihan di saluran darah. Kolesterol akan berkumpul dan mengeras menjadi plak pada dinding saluran darah, menyebabkan saluran sempit dan tersumbat - proses Atherosclerosis. Ini akan meningkatkan risiko sakit jantung!

Proses Atherosclerosis - meningkatkan risiko sakit jantung

HDL pula dijolok dengan nama kolesterol baik sudah tentu kerana fungsinya yang ‘baik hati’ mengambil lebihan kolesterol di saluran darah untuk dibawa pulang semula ke hati. HDL bertindak seperti Majlis Perbandaran membersihkan sel dan saluran darah daripada kolesterol berlebihan. Dengan itu, risiko saluran darah tersumbat pun akan menurun.

HDL seperti Majlis Perbandaran

Jika kadar LDL tinggi di dalam darah, risiko sakit jantung dan darah tinggi akan meningkat. HDL tinggi pula akan menurunkan risiko tersebut. Anda boleh periksa kadar kolesterol anda di hospital dan klinik kesihatan yang berdekatan.

Bagaimana pula kadar HDL dan LDL seseorang boleh berbeza? Ada banyak sebab. Tapi yang paling utama sudah tentu cara pemakanan dan gaya hidup.

Salmon dan sayuran dan meningkatkan kadar HDL dalam darah

Berikut adalah makanan dan aktiviti yang meningkatkan kadar HDL (kolesterol baik) dan menurunkan LDL (kolesterol jahat) di dalam darah:
·         Bersenam; Berjalan kaki, berjoging, berbasikal (20-30 minit setiap hari)
·         Berhenti merokok
·        Makan lebih banyak sayur, buah-buahan, kekacang (buncis, sayur kacang, soya), oat
·         Ikan (cth: Salmon) atau sebarang makanan yang mengandungi omega 3

Himpunan makanan yang 'bersekongkol' dengan kolesterol 'jahat'

Makanan yang meningkatkan LDL (kolesterol jahat) di dalam darah:
·         Makanan yang mengandungi trans lemak (trans fat) yang tinggi seperti; marjerin, mi segera, donut (cth: Big Apple, Dunkin Donut etc), keropok (Mister Potato, Twisties), kek, biskut manis, gula-gula, krimer, sos thousand island.

·       Makanan berkolesterol tinggi; Daging, kuning telur, udang, ayam + kulit ayam, hati

·      Makanan tinggi dengan lemak tepu (saturated fat); Butter, whip cream, kacang goreng, snek, keju

baca label makanan dan banding dengan produk lain

Sentiasalah baca label makanan semasa memilih produk dan pastikan trans lemak, kolesterol dan lemak tepu tidak tinggi. Banding beberapa produk dan pilihlah produk yang rendah untuk 3 jenis lemak itu.

Walaubagaimanapun.. janganlah bersedih, tidak semestinya makanan berlemak diatas langsung tidak boleh dimakan. Makanlah apa-apapun yang penting kurangkan pengambilannya.

‘Makan apa saja dalam jumlah yang sikit tetapi sepanjang hidup’ itu lebih baik daripada ‘Makan apa saja selagi boleh nanti sakit dah tak boleh makan sesuka hati dah’.
Pening? Baca slow-slow.

Sumber:
Good vs. Bad Cholesterol
The Rules of Lowering Cholesterol
10 High-Cholesterol Foods to Avoid
Understanding Cholesterol
What Causes High Blood Cholesterol? 
Top 10 Foods With Trans Fats

25 June 2013

Produk Kurus Cepat. Patut atau Tidak?



Apa itu FAD DIET?

Diet bermaksud cara pemakanan. Fad pula bermaksud trend, fashion, atau sesuatu yang diikuti ramai dalam masa yang tertentu. Apa pula yang dimaksudkan dengan fad diet?

berat turun dalam masa yang singkat
Fad Diet adalah sebuah diet yang bertujuan untuk melangsingkan dan mengurangkan berat badan dalam masa yang sangat singkat. Ya semua orang nak kurus dengan mudah dan cepat. Lagi bagus kalau tidak perlu bersenam.

pelbagai produk pelangsing badan

Contoh fad diet adalah produk pelangsing badan yang berleluasa di pasaran sekarang. Disebabkan trend masyarakat kini sukakan badan yang kurus dan berasa malu apabila berbadan besar, ramailah pengusaha berusaha mencipta produk pelangsing badan untuk memenuhi permintaan ramai dan menepati sikap manusia yang pemalas. Ya, pasti produk yang cepat berkesan menjadi pilihan. Tak suka susah susah bersenam ni. Malaslah…

Apa masalahnya kalau kita mengikuti fad diet? Salahkah membeli produk pelangsing badan? Baguslah, slim cepat tak payah susah-susah bersenam.

Tahukah anda, kebanyakan fad diet mengancam kesihatan anda. Keburukan melebihi kebaikannya. Pakar kesihatan memberitahu, satu-satunya cara yang paling selamat, berkesan dan berpanjangan untuk menurunkan berat badan adalah dengan makan secara seimbang dan sederhana serta banyakkan bersenam. Nampak seperti bosan dan sukar untuk dijadikan amalan tapi inilah satu-satunya cara! Bukan melalui penggunaan pil, krim sapu atau makanan/minuman yang khas semata-mata.

makan sederhana + bersenam = satu-satunya cara
Produk fad diet mungkin berkesan menurunkan berat badan hanya jika kita menggunakannya berterusan. Namun begitu, berat badan akan menaik semula jika penggunaan produk fad diet dihentikan. Untuk mengelakkan berat badan meningkat semula, anda terpaksa pula membeli produk mereka sepanjang hidup. 

berat menurun secara mendadak

Berat badan yang turun secara mendadak (lebih 1 kg dalam seminggu) bukanlah berat lemak tetapi hanyalah berat air di dalam badan. Sekiranya kita menghentikan penggunaan produk tersebut, badan akan menstabilkan semula air yang hilang akhirnya berat akan meningkat semula. Lemak memerlukan masa untuk terbakar dan bukan dalam masa seminggu dua. Lemak hanya cepat hilang dengan mengurangkan kalori dalam makanan seharian ditambah dengan aktiviti fizikal yang aktif seperti senaman aerobik atau berjoging setiap hari.

Kehilangan berat badan yang berlebihan dalam masa yang singkat juga bahaya kerana dikhuatiri berat yang hilang itu bukan sahaja air tetapi otot! Pengguna akan kekurangan air (dehydration) dan boleh membahayakan sel di dalam badan.

Berikut adalah ciri-ciri fad diet;
·         Menjanjikan penurunan berat badan dalam masa yang sangat singkat – hilang lebih 10 kg sebulan.
·         Memperkenalkan makanan ‘ajaib’ atau gabungan makanan menjadi satu santapan

minuman 'ajaib'
·         Pelan menu makanan yang ketat dengan pilihan makanan yang terhad
·         Tiada nasihat untuk melakukan sebarang aktiviti fizikal atau bersenam dalam proses menguruskan badan.
·         Bergantung hanya kepada testimoni semasa mempromosi produk
·         Diet yang diperkenalkan hanyalah bertujuan untuk mengajak pengguna membeli produk mereka sahaja – untuk keuntungan.
·         Membuang atau mengurangkan sumber nutrien tertentu dalam pelan pemakanan (seperti karbohidrat)

menterhadkan karbohidrat

Kebanyakan produk fad diet harganya bukan murah dan tidak semua lapisan masyarakat mampu membelinya. Lebih-lebih lagi apabila produk tersebut memperkenalkan pelan makanan yang memerlukan anda membeli pelbagai produk mereka secara berterusan. Sekiranya kita tiba-tiba mempunyai masalah kewangan dan tidak dapat membeli produk tersebut dalam jangka masa yang tertentu, apa yang terjadi? Kita akan mula mengambil makanan seperti biasa kerana tidak dapat melakukan diet yang istimewa itu. Berat badan pula akhirnya akan meningkat semula.

Cuba bayangkan, produk fad diet yang berupa pil, minuman, teh dan sebagainya; telah menggantikan sebahagian makanan harian anda. Adakah anda pasti, anda boleh bergantung dengan produk tersebut sepanjang hidup anda? Manusia mudah bosan, pasti anda akan rindu dan teringin untuk merasa pelbagai jenis makanan terutamanya makanan yang diterhadkan oleh fad diet yang anda ikuti itu. Allah telah menyediakan pelbagai jenis makanan di muka bumi dan mencipta lidah yang mampu merasa pelbagai jenis makanan.  Namun kenapa nikmat itu disia-siakan dengan bergantung kepada produk fad diet yang belum tentu lagi rasanya sedap?

manusia mudah bosan

Makanlah apa pun makanan asalkan halal dan menyihatkan.
YANG PENTING: SEIMBANG DAN BESEDERHANA.

Testimoni yang dipaparkan oleh sesebuah produk semuanya positif bukan? Pengeluar memanglah pilih yang positif sahaja. Kalau tak, macam mana nak untung. Mungkin dalam 100 testimoni, hanya 10 sahaja yang berkesan dan 10 itu sahaja lah yang dipaparkan. Orang ramai yang membaca pula terus menganggap bahawa produk tersebut berkesan. Sejauh mana kepercayaan anda terhadap testimoni? Sesebuah produk mungkin berkesan dengan sesetengah orang tetapi belum tentu berkesan dengan anda. 

testimoni yang meyakinkan dan mampu menjerat pengguna

Kebanyakan produk fad diet juga hanya mengajar penggunanya untuk menurunkan berat badan tetapi tidak memberi panduan bagaimana untuk mengekalkannya. Apabila target kita untuk mendapatkan berat badan ideal sudah tercapai, kita mungkin tidak memerlukan produk pelangsing itu lagi. Namun, bagaimana pula caranya untuk memastikan berat ideal itu berkekalan? Tanpa panduan yang betul, kita akan kembali semula dengan pemakanan biasa yang belum tentu sihat. Akhirnya berat badan meningkat semula! Rugi ratusan ringgit.

Tapi... Kalau kita tidak bergantung dengan fad diet, bagaimana hendak menguruskan badan?

Minta nasihat pakar pemakanan
Cara yang paling selamat ialah dengan mendapatkan nasihat daripada pakar pemakanan. Proses menguruskan badan bukan kerja seminggu dua.

Hanya ada dua kunci untuk mendapatkan berat badan yang ideal secara berterusan;

1.       Pemakanan seimbang & sederhana (Seimbang bermaksud; makanan meliputi semua jenis nutrien)
2.       Gaya Hidup Aktif

Kalau malas bersenam, kena juga ‘malas’ makan dan begitulah sebaliknya.
Formula yang sangat mudah.

Terdapat pelbagai tips untuk mengurangkan berat badan secara semulajadi tanpa penggunaan sebarang produk. Namun, sebarang tips, program atau jenis diet sekalipun, langkah pertama dan yang paling utama ialah - ubah cara hidup.

Ya. Berubah itu bukan perkara yang mudah. Ada yang terasa janggal untuk berjoging. Ada juga merasa tidak lengkap harinya tanpa memakan McD. Tabiat sememangnya sangat sukar dikikis tanpa azam yang kuat. Tiada jalan pintas untuk kurus berpanjangan tanpa dua kunci diatas. 

ubah tabiat itu bukan mudah
Untuk terus mengekalkan berat badan yang ideal memerlukan motivasi yang kuat dan berterusan. Tidak kiralah program atau apa cara pemakanan sekalipun, semuanya bergantung kepada diri anda. Tidak kiralah siapa yang mempromosikan produk; selebriti atau orang terkemuka, semua itu belum tentu dapat mengubah anda.

Diri anda adalah satu-satunya orang yang dapat mengubah anda, cara hidup anda dan cara pemakanan anda.

Sumber:
- dan banyaaaaak lagi

21 June 2013

Hilang Kaki kerana Gula (Part II)

Bagaimana Diabetes boleh terjadi? Part I




Bagaimana pula Diabetes boleh menyebabkan kaki membusuk?



Gula merupakan sumber tenaga kepada saluran darah untuk berfungsi. Namun begitu, kadar gula yang tinggi dan berterusan akan menyebabkan dinding saluran darah terpaksa mengambil gula berlebihan yang tidak terkawal itu. Kesannya, dinding saluran darah membengkak dan sel darah putih berkumpul di kawasan tersebut untuk menyembuhkannya. Keadaan akan menjadi lebih teruk apabila kolesterol dan lemak berlebihan terdapat di dalam saluran darah disalah anggap sebagai bendasing/bakteria oleh sel darah putih. Kolesterol dan lemak tersebut akan di’makan’ oleh sel darah putih dan membentuk satu bahan yang keras – PLAK.


Plak (kuning)
Plak yang terhasil akan berkumpul dan saluran darah menjadi sempit. Masalah ini dikenali sebagai Atherosclerosis. Darah yang mengalir menjadi tidak lancar dan tidak dapat sampai ke organ-organ tertentu. Akhirnya, saluran darah rosak dan tidak dapat menghantar darah lagi. Keadaan ini membawa kepada sakit jantung, kerosakan sel saraf dan banyak lagi masalah lain.


sel saraf
Sel saraf berfungsi untuk menghantar deria ke otak untuk ditafsirkan. Tanpa sel saraf, kita tidak akan dapat melihat, mendengar, menghidu, merasa dengan lidah, berasa sakit, panas, sejuk dan banyak lagi. Seperti saluran darah, organ dan sel-sel lain, sel saraf juga perlukan gula sebagai sumber nutrien untuk berfungsi. Sel saraf memperoleh gula daripada saluran darah yang berhampiran. Jika saluran darah yang berhampiran rosak, bekalan gula akan tersekat dan sel saraf kekurangan nutrien. Akhirya sel saraf turut rosak!


sel saraf (kuning) bergantung nutrien daripada saluran darah (merah, biru)
Seperti yang diberitahu di atas, tanpa sel saraf kita tidak akan merasa sakit. Pesakit diabetes yang agak kritikal akan berasa kejang terutamanya di bahagian kaki dan tangan kerana sel saraf mereka sudah rosak - keadaan ini dikenali sebagai Neuropati. Mereka akan mengabaikan penjagaan kaki dan tidak sedar apabila kaki mereka melecet semasa memakai kasut. Akhirnya kaki akan cedera dan ulser kaki akan terbentuk.


Ulser Kaki di kawasan melecet
Disebabkan saluran darah semakin sempit akibat atherosclerosis, sel darah putih tidak sampai ke kaki yang cedera itu. Akibatnya, bakteria pada ulser kaki tidak dapat dihapuskan dan akan membiak dengan cepat. Gula yang tinggi di dalam darah juga turut mempercepatkan pembiakan bakteria kerana mereka mendapat makanan yang banyak (gula itu). Sebab itulah luka pesakit diabetes mengambil masa yang lama untuk sembuh.


tisu mati
Bakteria akan me‘makan’ tisu kaki dan akhirya tisu kaki mati, buruk dan membusuk jika tidak dirawat atau dibedah - situasi ini dikenali sebagai Gangren. Apabila kaki sudah ‘mati’ ia mesti dipotong dengan segera untuk mengelakkan bakteria di kaki merebak ke bahagian atas kaki.


gangren merebak!

Secara ringkasnya, inilah yang terjadi. Hanya kerana tidak menjaga makan, nasib badan menerima padah. Kerana gula yang tinggi, akhirnya kaki pula dipotong.




Allah sudah berpesan dalam al-Quran;




Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. 
(Al-A'raf:31)

Tiada makanan halal yang tidak baik. Cara pemakanan kitalah yang menentukan baik buruk kesannya kepada badan kita. Makanlah secara sederhana dan jangan kerana gula kita kehilangan kaki!

sumber:
buku sekolah

20 June 2013

Hilang Kaki kerana Gula (Part I)




Gula sangat penting kepada tubuh manusia sebagai sumber tenaga. Tanpa gula a.k.a glukosa, sudah tentu tenaga tidak dapat dihasilkan. Otot tidak boleh bergerak malah otak juga tidak mampu berfungsi kerana glukosa adalah 'minyak petrol' utama!

Apabila kita makan, terutamanya makanan yang manis, gula semakin banyak di dalam darah. Gula ini harus pergi kepada sel-sel di dalam badan untuk dijadikan sumber tenaga. Oleh itu, satu bahan yang dihasilkan oleh pankreas - Hormon Insulin - akan dilepaskan ke dalam saluran darah untuk mengaktifkan sel agar ia boleh mengambil gula di dalam saluran darah tersebut. Selepas itu, sel tersebut akan memproses gula kepada tenaga supaya kita boleh melakukan aktiviti.



Hormon insulin SANGAT penting kepada kita. Tanpa hormon ini, sel tidak dapat mengambil gula di dalam darah. Akibatnya, kadar gula meningkat di dalam darah dan doktor akan mengesahkan bahawa anda menghidapi penyakit kencing manis atau Diabetes.

Diabetes terjadi apabila badan mempunyai masalah dengan insulin seperti pankreas tidak dapat menghasilkan insulin yang mencukupi atau sel badan tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan kerana masalah yang tertentu.

insulin tidak berfungsi, glukosa berkumpul dalam darah


Antara kumpulan manusia yang berisiko tinggi untuk mendapat diabetes adalah;

·        Berat badan berlebihan dan obesiti atau lemak berlebihan di kawasan perut (buncit)
pankreas terletak di kawasan perut. Oleh itu, jika lemak berlebihan di dalam badan kita terutamanya kawasan perut, insulin yg dihasilkan pankreas akan ‘disekat’ fungsinya oleh lemak.


·         Gaya hidup tidak aktif: Boleh membawa kepada kegemukan
·        Sejarah keluarga: Apabila ibu bapa atau adik beradik mengalami diabetes, risiko semakin meningkat.
·         Umur. Risiko semakin meningkat apabila umur meningkat. Tapi jangan fikir kanak-kanak atau remaja tidak boleh mendapat diabetes!



Jika anda tidak termasuk daripada mana-mana kumpulan di atas, tidak bermaksud anda boleh makan sesuka hati! Sesiapa sahaja boleh mendapat diabetes tanpa disedari KALAU kita tidak menjaga makan.

Diabetes sering dikaitkan dengan makanan manis bergula semata-mata. Tapi jangan lupa, makanan berlemak seperti masakan berminyak, daging, makanan segera atau sebarang makanan yang boleh menggemukkan boleh meningkatkan lagi risiko diabetes.




Apabila gula semakin tinggi di dalam darah dan dibiarkan berpanjangan, ia boleh merosakkan saluran darah, saraf dan organ! Diabetes akan meningkatkan risiko katarak mata yang boleh membutakan, sakit jantung, ginjal gagal berfungsi, strok, kehilangan kaki dan banyak lagi!

Bagaimana pula gula boleh menyebabkan kehilangan kaki? Part II

sumber: 
http://www.mayoclinic.com/health/diabetes/DS01121
http://www.nps.org.au/conditions-and-topics/conditions/hormones-metabolism-and-nutritional-problems/diabetes-type-2/for-individuals/complications
-http://clinical.diabetesjournals.org/content/26/2/77.full
-dan banyak lagi