Pages

21 June 2013

Hilang Kaki kerana Gula (Part II)

Bagaimana Diabetes boleh terjadi? Part I




Bagaimana pula Diabetes boleh menyebabkan kaki membusuk?



Gula merupakan sumber tenaga kepada saluran darah untuk berfungsi. Namun begitu, kadar gula yang tinggi dan berterusan akan menyebabkan dinding saluran darah terpaksa mengambil gula berlebihan yang tidak terkawal itu. Kesannya, dinding saluran darah membengkak dan sel darah putih berkumpul di kawasan tersebut untuk menyembuhkannya. Keadaan akan menjadi lebih teruk apabila kolesterol dan lemak berlebihan terdapat di dalam saluran darah disalah anggap sebagai bendasing/bakteria oleh sel darah putih. Kolesterol dan lemak tersebut akan di’makan’ oleh sel darah putih dan membentuk satu bahan yang keras – PLAK.


Plak (kuning)
Plak yang terhasil akan berkumpul dan saluran darah menjadi sempit. Masalah ini dikenali sebagai Atherosclerosis. Darah yang mengalir menjadi tidak lancar dan tidak dapat sampai ke organ-organ tertentu. Akhirnya, saluran darah rosak dan tidak dapat menghantar darah lagi. Keadaan ini membawa kepada sakit jantung, kerosakan sel saraf dan banyak lagi masalah lain.


sel saraf
Sel saraf berfungsi untuk menghantar deria ke otak untuk ditafsirkan. Tanpa sel saraf, kita tidak akan dapat melihat, mendengar, menghidu, merasa dengan lidah, berasa sakit, panas, sejuk dan banyak lagi. Seperti saluran darah, organ dan sel-sel lain, sel saraf juga perlukan gula sebagai sumber nutrien untuk berfungsi. Sel saraf memperoleh gula daripada saluran darah yang berhampiran. Jika saluran darah yang berhampiran rosak, bekalan gula akan tersekat dan sel saraf kekurangan nutrien. Akhirya sel saraf turut rosak!


sel saraf (kuning) bergantung nutrien daripada saluran darah (merah, biru)
Seperti yang diberitahu di atas, tanpa sel saraf kita tidak akan merasa sakit. Pesakit diabetes yang agak kritikal akan berasa kejang terutamanya di bahagian kaki dan tangan kerana sel saraf mereka sudah rosak - keadaan ini dikenali sebagai Neuropati. Mereka akan mengabaikan penjagaan kaki dan tidak sedar apabila kaki mereka melecet semasa memakai kasut. Akhirnya kaki akan cedera dan ulser kaki akan terbentuk.


Ulser Kaki di kawasan melecet
Disebabkan saluran darah semakin sempit akibat atherosclerosis, sel darah putih tidak sampai ke kaki yang cedera itu. Akibatnya, bakteria pada ulser kaki tidak dapat dihapuskan dan akan membiak dengan cepat. Gula yang tinggi di dalam darah juga turut mempercepatkan pembiakan bakteria kerana mereka mendapat makanan yang banyak (gula itu). Sebab itulah luka pesakit diabetes mengambil masa yang lama untuk sembuh.


tisu mati
Bakteria akan me‘makan’ tisu kaki dan akhirya tisu kaki mati, buruk dan membusuk jika tidak dirawat atau dibedah - situasi ini dikenali sebagai Gangren. Apabila kaki sudah ‘mati’ ia mesti dipotong dengan segera untuk mengelakkan bakteria di kaki merebak ke bahagian atas kaki.


gangren merebak!

Secara ringkasnya, inilah yang terjadi. Hanya kerana tidak menjaga makan, nasib badan menerima padah. Kerana gula yang tinggi, akhirnya kaki pula dipotong.




Allah sudah berpesan dalam al-Quran;




Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas. 
(Al-A'raf:31)

Tiada makanan halal yang tidak baik. Cara pemakanan kitalah yang menentukan baik buruk kesannya kepada badan kita. Makanlah secara sederhana dan jangan kerana gula kita kehilangan kaki!

sumber:
buku sekolah

No comments:

Post a Comment