Apa itu Kencing Manis Semasa Hamil (Diabetis Gestasi)?
Sekiranya wanita yang mengandung disahkan menghidapi kencing manis, ia dikenali sebagai diabetis gestasi atau kencing manis semasa hamil. Kebiasaannya setiap wanita mengandung akan menjalani ujian diagnosis untuk mengenal pasti sama ada mereka menghidapi penyakit ini dengan Ujian Toleransi Glukosa Oral (OGTT).
Diabetis Gestasi berlaku kerana perubahan hormon di dalam badan akibat kehamilan. Hormon insulin yang berfungsi untuk mengawal paras gula tidak dapat dihasilkan secukupnya oleh pankreas semasa mengandung. Ini akan mengakibatkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan akan meningkat.
Pada masa yang sama hormon yang dihasilkan oleh uri bayi bagi tujuan tumbesaran turut menghalang badan si ibu menggunakan hormon insulin dengan efisien.
Anda tidak perlu terlalu risau sekiranya disahkan menghidapi Diabetes Gestasi kerana ia bukanlah sesuatu yang luarbiasa. 2 hingga 14% ibu hamil diserang penyakit ini. Gestasi Diabetis berbeza dengan Diabetis Jenis 1 dan 2 kerana kebiasaannya paras gula dalam darah akan kembali normal selepas bersalin.
Siapakah yang berisiko untuk mempunyai Diabetis Gestasi?
- Indeks jisim badan (BMI) lebih daripada 30;
- Dahulu telah melahirkan bayi yang besar dengan berat sebanyak 4kg atau lebih;
- Menghidapi Diabetis Gestasi sebelum ini;
- Keluarga mempunyai sejarah kencing manis (ibu atau bapa, datuk atau adik-beradik mempunyai kencing manis);
- Keluarga dari nenek moyang yang mempunyai sejarah kencing manis yang tinggi, dan ini lebih ketara jika anda dari keturunan Asia Selatan, Caribbean berkulit gelap atau Timur Tengah.
Kesan Diabetis Gestasi Kepada Bayi dan Si Ibu
Sekiranya ibu hamil tidak mengamalkan langkah penjagaan kesihatan yang optimum, ia mampu memberikan kesan negatif kepada bayi dalam kandungan terutamanya apabila paras gula dalam darah terlalu tinggi.
Gula yang banyak di dalam darah akan merentasi plasenta ke bayi dalam kandungan. Akibatnya, saiz bayi akan menjadi terlalu besar kerana menerima bekalan gula yang banyak. Bayi yang besar menyukarkan proses bersalin, dikhuatiri pembedahan caesarean terpaksa dilakukan.
Menurut kajian, bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami Diabetis Gestasi didapati cenderung untuk mendapat obesiti dan diabetis jenis kedua apabila mereka membesar dewasa.
Tambahan itu, walaupun Diabetis Gestasi ini kebiasaannya akan hilang selepas melahirkan,si ibu boleh mendapat diabetis mellitus jenis kedua yang kronik sekiranya mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengawal paras gula dalam darah.
Rawatan untuk Diabetis Gestasi
Langkah yang terbaik untuk merawat penyakit ini sudah tentu dengan mengubah cara pemakanan dengan lebih sesuai dan sihat. Berikut adalah antara tips diet sihat untuk pesakit Diabetis Gestasi
1. Agihkan jumlah makanan sehari kepada 3 kali waktu makan utama (sarapan, makan tengahari, makan malam) dan 2 ke 3 kali makan ringan setiap hari.
Makan terlalu banyak dalam satu masa boleh meningkatkan kadar gula dalam darah dengan mendadak. Sebaiknya, amalkan memakan snek seperti roti gandum penuh, buah atau salad di antara waktu makan utama (contoh: minum pagi, minum petang) bagi memastikan anda tidak terlalu lapar kemudian makan dengan banyak semasa waktu makan utama. Namun demikian, pemilihan snek perlulah betul.
Dalam pada itu, jangan pernah tinggalkan waktu makan semasa mengandung kerana bayi dan badan anda memerlukan ekstra nutrisi daripada pelbagai sumber makanan.
2. Makan daripada kumpulan kanji pada kadar yang betul
Kadar yang betul itu bermaksud, lebih kurang 2-3 senduk nasi (rata) atau 2 keping roti. Banyakkan jumlah sayur di dalam pinggan kerana serat pada sayur boleh menjadikan anda kenyang lebih cepat dan lebih lama.
Makanan daripada kumpulan kanji seperti nasi, mi, roti, atau kuih muih berasaskan tepung gandum akan bertukar menjadi gula apabila diproses dalam badan. Sekiranya anda terlalu banyak memakan makanan berasaskan kanji, ia mampu meningkatkan gula dalam darah dengan mendadak.
Terdapat dua jenis makanan berkanji; Kanji kompleks dan Kanji halus. Nasi putih dan roti putih dikenali sebagai kanji halus yang begitu mudah bertukar menjadi gula semasa diproses dalam badan. Makanan ini tidak disarankan dimakan terlalu banyak oleh pesakit diabetis kerana ia mampu meningkatkan kadar gula dengan sangat cepat.
Sebaliknya, anda boleh memakan nasi perang dan roti gandum penuh yang merupakan kanji kompleks. Makanan ini mengambil masa untuk diproses menjadi gula. Justeru, mampu menstabilkan kadar gula dalam darah daripada mencanak naik dengan mendadak. Beras Ponni yang tidak mengandungi kanji juga antara pilihan yang baik.
3. Minum susu hanya satu gelas (lebih kurang satu mug) pada satu masa
Susu sememangnya berkhasiat kerana kaya dengan kalsium dan ia amat penting untuk diminum semasa mengandung. Namun begitu, susu juga mengandungi karbohidrat. Minum terlalu banyak pada satu masa boleh meningkatkan kadar gula dalam darah dengan cepat.
4. Hadkan pengambilan buah-buahan
Buah juga makanan berkhasiat tetapi tinggi dengan gula. Anda boleh makan 1 hingga 3 sajian setiap hari tapi jangan makan sekaligus dalam satu masa.Satu sajian bermaksud sebiji bagi buah kecil (epal, pisang, oren) dan sepotong bagi buah besar (tembikai, tembikai susu, betik), 8 biji anggur, 5 biji rambutan dan banyak lagi
5. Kurangkan makanan manis dan pencuci mulut
Kek, kuih, gula-gula dan pastri kebiasaannya mempunyai kandungan kanji halus yang amat tinggi. Makanan ini juga biasanya tinggi lemak dan rendah khasiat. Kurangkan juga pengambilan air manis dan minuman berkarbonat.Selain daripada tips pemakanan sihat diatas, ibu hamil juga perlu mengamalkan gaya hidup aktif seperti bersenam ringan seperti berjalan kaki, menaiki tangga atau membuat kerja rumah – sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.