Pages

15 December 2015

4 Tips Tambah Darah untuk Hb Normal Semasa Hamil





Sewaktu hamil, hemoglobin (Hb) - sejenis protein yang mengangkut oksigen - adalah antara bacaan darah yang sangat dititik beratkan oleh doktor. Ibu hamil akan disahkan mengalami anemia sekiranya bacaan Hb kurang daripada 12 g/dL. Bacaan normal Hb ialah 12-15 g/dL.




Anemia jenis kekurangan zat besi (iron deficiency anemia) adalah sejenis kondisi yang mana hemoglobin di dalam sel darah merah berada di bawah paras normal akibat kekurangan zat besi. Zat besi merupakan sejenis bahan mineral yang diperlukan badan untuk menghasilkan hemoglobin di dalam sel darah merah.

Semasa mengandung keperluan zat besi meningkat kerana badan memerlukan lebih banyak hemoglobin untuk tumbesaran bayi di dalam kandungan. Hemoglobin sangat penting kerana ia mengangkut oksigen yang berfungsi menghasilkan tenaga untuk ibu dan janin.

Ia merupakan sesuatu yang biasa bagi wanita mengandung sekiranya bacaan Hb berada pada paras hampir bawah normal (11.5-12 g/dL) kerana keperluannya meningkat pada waktu itu. Tetapi sekiranya bacaan kurang sehingga 8 g/dL, ia mampu membawa kesan bahaya kepada ibu dan kandungan.

Faktor yang Meningkatkan Risiko Anemia Jenis Kekurangan Zat Besi


Anda mudah mendapat anemia kekurangan zat besi semasa hamil sekiranya anda;
  • Kurang memakan makanan tinggi zat besi
  • Memakan makanan yang menghalang penyerapan zat besi
  • Darah yang banyak keluar semasa menstruasi sebelum mengandung
  • Mengalami alahan teruk (morning sickness) seperti muntah-muntah
  • Jarak antara dua kandungan dekat
  • Menyusukan anak semasa mengandung
Kekurangan zat besi bukanlah satu-satunya sebab anda boleh mendapat anemia. Kekurangan folik asid dan vitamin B12, kehilangan banyak darah serta menghidapi talasemia juga antara punca yang lain.

Tanda-tanda Anemia Kekurangan Zat Besi


Walaupun doktor belum mengesahkan anda menghidap anemia, ada beberapa tanda yang mungkin menunjukkan jumlah Hb anda kurang;
  • Pucat lesi
  • Tangan dan kaki sejuk-sejuk
  • Rasa ingin pitam
  • Mudah rasa penat
  • Pening-pening atau sakit kepala
  • Sesak nafas

4 Tips Meningkatkan Hemoglobin (Hb) Dalam Darah

 

tumblr_inline_nv76b122Oo1r54lbd_1280_crop

 

1. Makan Makanan Tinggi Zat Besi dan Vitamin B12

 

Zat besi dan vitamin B12 sangat diperlukan semasa pembuatan hemoglobin di dalam sel darah merah. Berikut adalah contoh makanan tinggi dengan dua sumber berikut;
  • Ayam dan telur ayam
  • Semua jenis daging merah
  • Organ dalaman (hati dan paru)
  • Kerang
  • Ikan laut dalam (ikan tongkol, ikan sardin, ikan selayang, ikan kembong dll.)

Makanan tinggi zat besi (sahaja) pula,
  • Bayam dan sayuran berdaun warna hijau gelap (sawi, kangkung, brokoli dll.)
  • Buah-buahan kering (kismis, kurma, buah tin, buah prun)

Anda dinasihatkan untuk memakan makanan tinggi zat besi semasa sarapan, makan tengahari dan makan malam.

Nasihat Penting!
  • Kawal jumlah makanan yang tinggi kolesterol  seperti telur kuning, kerang dan organ dalaman.
  • Kurangkan makanan bergoreng.
  • Organ dalaman dan kerang bolehlah dimakan 2-3 kali seminggu. Kuning telur pula dalam 3-4 kali seminggu (sekiranya tiada masalah dislipidemia - penyakit kolesterol tinggi).
  • Makanan berikut tinggi dengan kolesterol, lemak dan kalori dikhuatiri boleh meningkatkan berat badan secara mendadak. Peningkatan berat yang mendadak lebih daripada yang disyorkan semasa hamil adalah tidak bagus.
  • Lebihkan memakan makanan kurang lemak seperti ayam dan daging (sudah dibuang kulit dan lemak) serta ikan dan sayuran.

 

2. Makan makanan yang membantu penyerapan zat besi


Zat besi daripada makanan bukan semua dapat diserap oleh badan. Oleh itu, makanan yang kaya dengan vitamin C sangat penting dalam membantu penyerapan zat besi. Berikut adalah contoh makanan tinggi dengan vitamin C;
  • Buah-buahan sitrus (oren, limau dan lemon)
  • Jambu batu merupakan buah paling tinggi dengan vitamin C!
  • Tembikai merah atau tembikai susu
  • Kiwi
  • Tomato
  • Sayuran berdaun hijau gelap dan brokoli

Anda disarankan memakan makanan di atas terutamanya buah-buahan sebelum atau selepas makan lauk yang tinggi dengan zat besi.

Nasihat Penting!
  • Jika ingin membuat air limau atau lemon, jangan tambah banyak gula (maksimum 1 sudu besar gula sahaja) kerana air manis boleh menyebabkan kencing manis semasa hamil jika diambil kerap (lebih 2-3 gelas sehari). Disarankan untuk minum tanpa menambah gula.
  • Jika buah ingin dibuat jus, disarankan untuk tidak menapis serat kerana ia sangat bagus untuk mengelakkan daripada sembelit. Risiko sembelit tinggi dalam kalangan ibu mengandung terutamanya yang sudah masuk trimester ketiga (minggu ke 29 ke 40)
vitamin-c

 

3. Elak Memakan Makanan yang Menghalang Penyerapan Zat Besi


Berikut adalah contoh makanan yang boleh menghalang penyerapan zat besi;
  • Minuman atau makanan berkafein (minuman perisa coklat, kopi, semua jenis teh, minuman kola)
  • Susu, yogurt dan keju serta susu soya
  • Roti mil penuh dan oat

Nasihat Penting!
Makanan yang paling tidak bagus dan boleh menghalang penyerapan zat besi ialah minuman berkafein seperti kola, teh dan kopi. Anda disarankan untuk berhenti mengambil minuman tersebut. Sekiranya anda cepat berasa penat dan mengantuk, ia bukanlah disebabkan kurang meminum kopi tetapi jumlah Hb sudah berkurangan.

Untuk susu, roti mil penuh dan oat, ia merupakan makanan yang berkhasiat dan tidak perlu dihentikan pengambilannya. Namun waktu pengambilan haruslah tidak sekali dengan memakan makanan tinggi zat besi. Anda disarankan untuk mengambilnya 2 jam selepas memakan lauk (ikan, ayam, protein).

Contoh: Minum susu 2 jam selepas makan malam iaitu sebelum tidur.

 

 

4. Ambil suplemen untuk meningkatkan Hb


Doktor akan memberikan pelbagai suplemen kepada ibu mengandung untuk membantu pembentukan sel darah merah seperti suplemen zat besi, folik asid dan vitamin B12 (atau B complex). Pastikan anda memakan suplemen ini seperti yang telah diarahkan. Untuk suplemen zat besi, disarankan untuk memakan selepas makan berat kerana serapannya lebih tinggi pada waktu itu.

 

Kesan Negatif Sekiranya Kekurangan Zat Besi


Sekiranya Hb di dalam badan terlalu rendah, ia akan memberi kesan negatif bukan sahaja semasa mengandung (seperti pening dan cepat pitam) tetapi semasa bersalin juga seperti pendarahan yang banyak dan banyak lagi komplikasi yang akan berlaku.

Dalam pada itu, kajian juga ada menunjukkan sekiranya pengambilan zat besi semasa mengandung kurang, ia boleh menganggu perkembangan otak bayi semasa di dalam kandungan. Selain itu, bayi juga mengalami risiko kurang berat badan atau kurang bulan semasa lahir.

Sekiranya cara pemakanan tidak dijaga, jumlah Hb di dalam badan pasti tidak akan bertambah baik. Amatlah penting bagi setiap ibu mengandung mengambil berat cara pemakanan. Semoga para ibu mengandung di luar sana boleh mengamalkan cara pemakanan sihat agar kesihatan diri dan kandungan terjaga. Insya Allah.

Artikel ini ditulis oleh UbatPensil di KeluargaBaru.com (artikel 12 Disember 2015) kemudian diterbitkan semula disini   

No comments:

Post a Comment