25 June 2013

Produk Kurus Cepat. Patut atau Tidak?



Apa itu FAD DIET?

Diet bermaksud cara pemakanan. Fad pula bermaksud trend, fashion, atau sesuatu yang diikuti ramai dalam masa yang tertentu. Apa pula yang dimaksudkan dengan fad diet?

berat turun dalam masa yang singkat
Fad Diet adalah sebuah diet yang bertujuan untuk melangsingkan dan mengurangkan berat badan dalam masa yang sangat singkat. Ya semua orang nak kurus dengan mudah dan cepat. Lagi bagus kalau tidak perlu bersenam.

pelbagai produk pelangsing badan

Contoh fad diet adalah produk pelangsing badan yang berleluasa di pasaran sekarang. Disebabkan trend masyarakat kini sukakan badan yang kurus dan berasa malu apabila berbadan besar, ramailah pengusaha berusaha mencipta produk pelangsing badan untuk memenuhi permintaan ramai dan menepati sikap manusia yang pemalas. Ya, pasti produk yang cepat berkesan menjadi pilihan. Tak suka susah susah bersenam ni. Malaslah…

Apa masalahnya kalau kita mengikuti fad diet? Salahkah membeli produk pelangsing badan? Baguslah, slim cepat tak payah susah-susah bersenam.

Tahukah anda, kebanyakan fad diet mengancam kesihatan anda. Keburukan melebihi kebaikannya. Pakar kesihatan memberitahu, satu-satunya cara yang paling selamat, berkesan dan berpanjangan untuk menurunkan berat badan adalah dengan makan secara seimbang dan sederhana serta banyakkan bersenam. Nampak seperti bosan dan sukar untuk dijadikan amalan tapi inilah satu-satunya cara! Bukan melalui penggunaan pil, krim sapu atau makanan/minuman yang khas semata-mata.

makan sederhana + bersenam = satu-satunya cara
Produk fad diet mungkin berkesan menurunkan berat badan hanya jika kita menggunakannya berterusan. Namun begitu, berat badan akan menaik semula jika penggunaan produk fad diet dihentikan. Untuk mengelakkan berat badan meningkat semula, anda terpaksa pula membeli produk mereka sepanjang hidup. 

berat menurun secara mendadak

Berat badan yang turun secara mendadak (lebih 1 kg dalam seminggu) bukanlah berat lemak tetapi hanyalah berat air di dalam badan. Sekiranya kita menghentikan penggunaan produk tersebut, badan akan menstabilkan semula air yang hilang akhirnya berat akan meningkat semula. Lemak memerlukan masa untuk terbakar dan bukan dalam masa seminggu dua. Lemak hanya cepat hilang dengan mengurangkan kalori dalam makanan seharian ditambah dengan aktiviti fizikal yang aktif seperti senaman aerobik atau berjoging setiap hari.

Kehilangan berat badan yang berlebihan dalam masa yang singkat juga bahaya kerana dikhuatiri berat yang hilang itu bukan sahaja air tetapi otot! Pengguna akan kekurangan air (dehydration) dan boleh membahayakan sel di dalam badan.

Berikut adalah ciri-ciri fad diet;
·         Menjanjikan penurunan berat badan dalam masa yang sangat singkat – hilang lebih 10 kg sebulan.
·         Memperkenalkan makanan ‘ajaib’ atau gabungan makanan menjadi satu santapan

minuman 'ajaib'
·         Pelan menu makanan yang ketat dengan pilihan makanan yang terhad
·         Tiada nasihat untuk melakukan sebarang aktiviti fizikal atau bersenam dalam proses menguruskan badan.
·         Bergantung hanya kepada testimoni semasa mempromosi produk
·         Diet yang diperkenalkan hanyalah bertujuan untuk mengajak pengguna membeli produk mereka sahaja – untuk keuntungan.
·         Membuang atau mengurangkan sumber nutrien tertentu dalam pelan pemakanan (seperti karbohidrat)

menterhadkan karbohidrat

Kebanyakan produk fad diet harganya bukan murah dan tidak semua lapisan masyarakat mampu membelinya. Lebih-lebih lagi apabila produk tersebut memperkenalkan pelan makanan yang memerlukan anda membeli pelbagai produk mereka secara berterusan. Sekiranya kita tiba-tiba mempunyai masalah kewangan dan tidak dapat membeli produk tersebut dalam jangka masa yang tertentu, apa yang terjadi? Kita akan mula mengambil makanan seperti biasa kerana tidak dapat melakukan diet yang istimewa itu. Berat badan pula akhirnya akan meningkat semula.

Cuba bayangkan, produk fad diet yang berupa pil, minuman, teh dan sebagainya; telah menggantikan sebahagian makanan harian anda. Adakah anda pasti, anda boleh bergantung dengan produk tersebut sepanjang hidup anda? Manusia mudah bosan, pasti anda akan rindu dan teringin untuk merasa pelbagai jenis makanan terutamanya makanan yang diterhadkan oleh fad diet yang anda ikuti itu. Allah telah menyediakan pelbagai jenis makanan di muka bumi dan mencipta lidah yang mampu merasa pelbagai jenis makanan.  Namun kenapa nikmat itu disia-siakan dengan bergantung kepada produk fad diet yang belum tentu lagi rasanya sedap?

manusia mudah bosan

Makanlah apa pun makanan asalkan halal dan menyihatkan.
YANG PENTING: SEIMBANG DAN BESEDERHANA.

Testimoni yang dipaparkan oleh sesebuah produk semuanya positif bukan? Pengeluar memanglah pilih yang positif sahaja. Kalau tak, macam mana nak untung. Mungkin dalam 100 testimoni, hanya 10 sahaja yang berkesan dan 10 itu sahaja lah yang dipaparkan. Orang ramai yang membaca pula terus menganggap bahawa produk tersebut berkesan. Sejauh mana kepercayaan anda terhadap testimoni? Sesebuah produk mungkin berkesan dengan sesetengah orang tetapi belum tentu berkesan dengan anda. 

testimoni yang meyakinkan dan mampu menjerat pengguna

Kebanyakan produk fad diet juga hanya mengajar penggunanya untuk menurunkan berat badan tetapi tidak memberi panduan bagaimana untuk mengekalkannya. Apabila target kita untuk mendapatkan berat badan ideal sudah tercapai, kita mungkin tidak memerlukan produk pelangsing itu lagi. Namun, bagaimana pula caranya untuk memastikan berat ideal itu berkekalan? Tanpa panduan yang betul, kita akan kembali semula dengan pemakanan biasa yang belum tentu sihat. Akhirnya berat badan meningkat semula! Rugi ratusan ringgit.

Tapi... Kalau kita tidak bergantung dengan fad diet, bagaimana hendak menguruskan badan?

Minta nasihat pakar pemakanan
Cara yang paling selamat ialah dengan mendapatkan nasihat daripada pakar pemakanan. Proses menguruskan badan bukan kerja seminggu dua.

Hanya ada dua kunci untuk mendapatkan berat badan yang ideal secara berterusan;

1.       Pemakanan seimbang & sederhana (Seimbang bermaksud; makanan meliputi semua jenis nutrien)
2.       Gaya Hidup Aktif

Kalau malas bersenam, kena juga ‘malas’ makan dan begitulah sebaliknya.
Formula yang sangat mudah.

Terdapat pelbagai tips untuk mengurangkan berat badan secara semulajadi tanpa penggunaan sebarang produk. Namun, sebarang tips, program atau jenis diet sekalipun, langkah pertama dan yang paling utama ialah - ubah cara hidup.

Ya. Berubah itu bukan perkara yang mudah. Ada yang terasa janggal untuk berjoging. Ada juga merasa tidak lengkap harinya tanpa memakan McD. Tabiat sememangnya sangat sukar dikikis tanpa azam yang kuat. Tiada jalan pintas untuk kurus berpanjangan tanpa dua kunci diatas. 

ubah tabiat itu bukan mudah
Untuk terus mengekalkan berat badan yang ideal memerlukan motivasi yang kuat dan berterusan. Tidak kiralah program atau apa cara pemakanan sekalipun, semuanya bergantung kepada diri anda. Tidak kiralah siapa yang mempromosikan produk; selebriti atau orang terkemuka, semua itu belum tentu dapat mengubah anda.

Diri anda adalah satu-satunya orang yang dapat mengubah anda, cara hidup anda dan cara pemakanan anda.

Sumber:
- dan banyaaaaak lagi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...