07 July 2013

Minyak Masak Terpakai Boleh Sebabkan Kanser Jika 7 Langkah ini Diabaikan


Amalan menggunakan semula minyak masak terpakai sudah menjadi amalan biasa kerana ia lebih menjimatkan. Tapi tahukah anda, tanpa cara dan tips yang betul, amalan ini boleh menyebabkan anda mendapat pelbagai penyakit berbahaya!


Fahami Konsep 'Smoke Point

Untuk mengetahui lebih lanjut bahaya guna semula minyak masak terpakai, adalah lebih baik jika anda memahami konsep Smoke Point. Smoke point ialah suhu titik permulaan minyak berpecah menjadi gliserol dan asid lemak, seterusnya menghasilkan asap kebiruan yang boleh menyebabkan mata pedih dan tekak mengalami iritasi. 

Minyak masak boleh rosak apabila dipanaskan pada suhu yang sangat tinggi melebihi smoke point. Minyak masak yang rosak berasa pahit, hangus dan kandungan nutrisi pula semakin merosot. Minyak masak yang rosak sangat berbahaya kerana;
  • Mengandungi radikal bebas yang boleh menyebabkan kanser
  • Menurut kajian, tikus yang diberi makan minyak masak yang rosak mengalami kerosakan hati atau ginjal.

Semakin rendah smoke point, semakin cepat ia rosak. Minyak sayuran seperti zaitun, bunga matahari, jagung, soya dan kanola mempunyai smoke point yang rendah dan mudah rosak apabila dipanaskan pada suhu yang sangat tinggi.
 
Semasa minyak masak dipanaskan, smoke point akan mula menurun. Suhu terlalu tinggi seperti menggoreng menyebabkan smoke point minyak masak turun dengan mendadak dan sudah tidak selamat digunakan semula kerana smoke point-nya sangat rendah.




Jika digunakan semula, minyak masak akan rosak, dan berbahaya kepada kesihatan. Kajian menunjukkan, minyak masak yang diguna semula (terutamanya yang sudah rosak) mengandungi bahan kimia 4-hydroxy-trans-2-nonenal (HNE) yang boleh meningkatkan risiko sakit jantung, strok, Alzheimer (penyakit nyanyuk), hati rosak dan kanser.

Minyak masak juga cepat rosak jika disimpan terlalu lama dan terdedah dengan haba (seperti cahaya matahari) walaupun belum digunakan. Apatah lagi menyimpan minyak masak terpakai. Anda membahayakan diri dan keluarga!

Sekiranya anda nak juga gunakan minyak sayuran untuk menggoreng, gunakan hanya sekali sahaja kerana minyak masak sayuran mudah rosak dan ini membahayakan. Seeloknya, gunakan minyak sayuran untuk menumis, menyediakan salad atau memasak pada suhu yang rendah.

Apakah Minyak Masak Terbaik untuk Menggoreng? 

Bukankah sangat membazir membuang minyak masak yang banyak itu selepas menggoreng? Mujurlah kita di Malaysia, ramai menggunakan minyak kelapa sawit untuk memasak.

Menurut kajian seorang jurutera makanan yang berbangsa Jerman, Kurt G. Berger; minyak kelapa sawit boleh digunakan semula kerana mempunyai smoke point yang tinggi. Walaupun ia diguna semula, warna dan rasa minyak tetap tidak berubah. Oleh itu, minyak kelapa sawit sangat sesuai digunakan untuk menggoreng dan digunakan semula. 


7 Tips Menggunakan Minyak Masak Terpakai

 


Berikut adalah 7 TIPS menggunakan semula minyak masak dengan selamat
  1. Jangan gunakan semula minyak sayuran yang sudah dipakai terutamanya minyak zaitun (olive oil) kerana smoke point-nya sangat rendah
  2. Tapis minyak masak yang sudah digunakan menggunakan kain untuk memastikan tiada sisa makanan tertinggal. Bakteria boleh hidup di dalam makanan dan merosakkan minyak masak.
  3. Cuba sebolehnya, gunakan minyak masak terpakai selain daripada menggoreng (contoh: menumis) kerana smoke point minyak masak terpakai sangat rendah. Menggoreng menggunakan minyak terpakai boleh meningkatkan kadar pembentukan toksik HNE. 
  4. Matikan api sejurus masakan sudah siap. Haba api boleh merosakkan minyak masak terpakai
  5. Jangan guna minyak masak terpakai yang mengeluarkan asap yang banyak dan kebiruan yang memedihkan mata, berbuih, bertukar warna menjadi perang pekat atau mengeluarkan bau tengik apabila dipanaskan. Ia adalah tanda minyak masak sudah rosak.
  6. Simpan minyak terpakai dalam bekas gelap dan tidak terdedah dengan haba daripada gas api dan cahaya matahari. Haba boleh merosakkan minyak dengan lebih cepat
  7. Sentiasa pastikan minyak masak terpakai anda masih elok. Bau dan lihat warnanya. Jika warnanya menjadi perang pekat, menjadi likat atau pekat, berbau tengik, jangan gunakan lagi. BUANG

Mungkin anda boleh elak menggunakan minyak masak yang rosak di rumah. Tetapi bagaimana pula dengan minyak masak yang digunakan restoran? Adakah mereka mengambil berat tentang perkara ini?

Kurangkanlah memesan makanan bergoreng di restoran. Anda pasti tidak mahu mendapat kanser, hati rosak atau ginjal gagal berfungsi bukan?

Sayangi tubuh badan anda. Ambil berat tentang cara penyediaan makanan!

Sumber:

2 comments:

  1. macam mana nak tau minyak masak yang kita beli tu ok ya

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaAllah minyak masak terbaik ialah minyak masak yang disimpan di dalam botol berbanding minyak masak plastik. untuk yang lebih berkhasiat, plh minyak masak campuran (blended oil) atau utk yg tidak campuran, seri murni, buruh atau helang antara pilihan yg baik

      Delete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...