01 November 2013

Sembuhkan Batuk dan Sakit Tekak Secara Semulajadi



Batuk dan sakit tekak merupakan satu fenomena yang pasti pernah berlaku kepada setiap manusia. Kebiasaannya ia bukanlah suatu penyakit yang serius dan akan sembuh selepas beberapa hari.

Apabila batuk, tekak anda berasa gatal dan sakit. Kahak berwarna kuning atau hijau pula terhasil. Mengapa kahak berwarna hijau? Enzim yang dihasilkan oleh badan untuk memusnahkan bakteria sebenarnya berwarna hijau.

Batuk terjadi akibat jangkitan kuman pada bahagian tekak. Ia menyebabkan tekak mengalami keradangan (bengkak) dan mengeluarkan kahak bagi memerangkap bakteria tersebut. Batuk akan menolak kahak yang berbakteria itu keluar daripada tekak untuk dibuang. Sekiranya kahak tersebut ditelan, ia akan masuk ke saluran esofagus untuk di bawa ke perut kemudian bakteria itu akan dimusnahkan oleh asid hidroklorik di dalam perut.

Tekak yang membengkak akibat respon daripada jangkitan kuman itu akan menyebabkan struktur kotak suara terjejas dan akan menyebabkan suara menjadi garau dan kadangkala sukar mengeluarkan suara. Tekak akan menjadi sakit dan sukar menelan.

Sebenarnya, batuk dan sakit tekak boleh sembuh dengan sendirinya tanpa memakan sebarang ubatan kerana sistem pertahanan badan kita boleh melawan dan memusnahkan bakteria tersebut. Beberapa langkah harus diambil jika anda tidak mahu bergantung kepada ubat daripada klinik.

wk-18-drink-tap-water

Berikut adalah antara tips untuk mempercepatkan proses penyembuhan oleh sistem imun badan kita;


Rehat secukupnya

Tidur dapat membantu badan anda melawan jangkitan bakteria dengan lebih berkesan.


Minum banyak air

Air bertindak sebagai pelincir untuk mengurangkan rasa sakit pada tekak akibat bengkak. Tekak yang kering akibat kekurangan air akan menyebabkan tekak rasa gatal dan bertambah bengkak.


Jauhi Asap

Elakkan diri anda dari menghidu asap rokok, kilang, kereta atau apa sahaja bahan pencemaran yang boleh membuatkan jangkitan pada tekak anda bertambah teruk


Jangan banyak bercakap

Sekiranya suara anda terjejas akibat sakit tekak, kurangkan bercakap. Bercakap akan menyebabkan tekak anda cepat kering dan bertambah sakit.  Kurang bercakap juga boleh mengembalikan suara anda seperti sedia kala dengan lebih cepat.


Makanan Untuk Batuk dan Sakit Tekak

  • Makan makanan yang mudah ditelan semasa sakit tekak seperti bubur ayam, buah yang lembut (cth: pisang, betik), sayur lembut (sayur yang sudah dimasak), yoghurt dsb.
  • Elakkan memakan makanan yang keras dan rangup seperti keropok, buah epal (atau buah lain yang keras) atau kuih yang keras kerana tekak anda akan mudah terasa gatal dan menyebabkan anda batuk, seterusnya meningkatkan keradangan pada tekak.  Makanan bergoreng juga tidak disarankan kerana ia juga keras. Masak sup atau rebus adalah lebih baik.
  • Makanan yang pedas, terlalu berempah/tinggi MSG, terlalu manis atau masam seperti jus buah oren, jeruk asam juga boleh melambatkan proses penyembuhan.
  • Elak memakan makanan yang terlalu sejuk atau terlalu panas kerana ia akan mengganggu tekak anda. Pastikan makanan anda sejuk sedikit sebelum memakannya.
  • Aiskrim atau air sejuk pula sebenarnya boleh melegakan tekak asalkan tidak terlalu sejuk beku atau tidak terlalu manis. Sup ayam atau minuman yang suam juga boleh melegakan dan mengurangkan keradangan pada tekak


Rawatan semulajadi


Air garam

Garam bertindak sebagai antiseptik dan membersihkan kahak. Campur ¼ sudu the garam dengan 237 ml air suam untuk orang dewasa kemudian kumur-kumur dan buang. Berkumur beberapa kali setiap hari dapat mengurangkan sakit tekak.


Madu

Menurut kajian, madu boleh melegakan sakit tekak dan membunuh kuman. Ia juga boleh mengurangkan radang/bengkak di dalam tekak. Campurkan 2 atau 3 sudu teh madu ke dalam air suam atau teh herba.

honey


Rawatan di atas adalah sesuai untuk orang dewasa. Anda perlu dapatkan nasihat doktor sebelum memberikannya kepada bayi dan kanak-kanak.


Bila anda patut berjumpa dengan doktor?

Anda harus berjumpa dengan doktor sekiranya batuk dan sakit tekak berpanjangan selama 3 ke 4 minggu kerana dikhuatiri anda menghidapi batuk TB (tuberculosis) atau kanser tekak.

Semoga cepat sembuh!  


****Artikel ini diitulis oleh UbatPensil di KeluargaBaru.com (artikel 26 Okt 2013) kemudian diterbitkan semula disini

Sumber: 
Mayo Clinic: Sore Throat
LiveStrong.com: Food To Avoid Sore Throat 
MedlinePlus: Hoarseness 
New York Times: Remedies - Honey For Coughing (Dec 16 2010) 
Reader Digest UK: Sore Throat - Treatment and remedies 

24 October 2013

Duduk Lama Meningkatkan Risiko Sakit Belakang


Sudah menjadi kebiasaan melihat segenap masyarakat kini menghabiskan banyak masa di hadapan skrin. Skrin televisyen, laptop, tab, telefon pintar dan pelbagai gajet lain. Kanak-kanak sekarang lebih suka duduk sepanjang hari  di ruang tamu bermain iPad berbanding bermain aktif di luar.

Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan saintis di University of Waterloo, Kanada menunjukkan duduk lama boleh mengakibatkan saraf tunjang tegang, meningkatkan risiko kecederaan bahagian bawah tulang belakang. Ini boleh mengakibatkan sakit belakang semasa duduk.

Dalam kajian lain pula menunjukkan, duduk dalam jangka masa yang lama juga boleh menyebabkan postur tulang badan menjadi abnormal, otot bahagian belakang cepat tegang dan sakit. Cara duduk yang paling berisiko ialah semasa duduk di hadapan komputer kerana posisi ini memberi tekanan yang kuat kepada tulang belakang.

Bagaimana cara mengatasinya?


Hiduplah secara aktif! Jangan biarkan anda serta keluarga anda banyak menghabiskan masa di hadapan skrin telefon atau televisyen. Anda pasti tidak mahu anak anda yang masih kecil mempunyai tulang belakang yang lemah atau postur badan tidak normal. Mungkin anak anda sekarang tidak menunjukkan sebarang simptom, tetapi mungkin kesan akan muncul dalam jangka masa yang panjang.

Bersenam sekurang-kurangnya 15 minit (tanpa henti) 3 kali seminggu. Kalau anda tidak mempunyai masa beriadah, cuba jadikan aktiviti harian anda seaktif yang mungkin. Sebagai contoh menaiki tangga berbanding dengan lif, berbasikal atau berjalan kaki apabila hendak ke tempat yang dekat. Kurangkan penggunaan kereta. 

Anda juga patut menghadkan masa anak-anak anda menonton televisyen, bermain permainan video atau melayari internet. Ajaklah keluarga anda beriadah pada hujung minggu. Bukan hanya keluar makan dan menonton wayang! Aktiviti fizikal dapat menguatkan otot yang menyokong tulang belakang sekaligus mengurangkan risiko sakit belakang. 

Posisi duduk yang betul juga sangat penting bagi mengurangkan risiko sakit belakang. Terutamanya kepada mereka yang bekerja di pejabat, di meja komputer selama 8 jam 5 hari seminggu.


shutterstock_141189643

Berikut adalah tips cara duduk yang betul dan mampu mengurangkan risiko sakit belakang;
  • Gunakan kerusi ergonomik: kerusi pejabat Dinamik
  • Pastikan kaki mencecah lantai – rendahkan paras kerusi
  • Pinggang harus lebih tinggi atau separas dengan lutut
  • Letakkan lengan di atas pemegang kerusi
  • Bersandar dengan tegak tetapi selesa pada belakang kerusi
  • Jangan duduk statik terlalu lama. Lakukan regangan ringkas setiap 20 minit. Kalau boleh berdiri atau berjalan sedikit.

Should Have Taken a Sick Day

Sayangilah tulang belakang anda dan keluarga anda. Anda pasti tidak mahu melihat diri sendiri dan anak anda yang masih muda sudah mengadu sakit belakang seperti warga emas.   

****Artikel ini ditulis oleh UbatPensil di KeluargaBaru.com (artikel 28 Sept 2013) kemudian diterbitkan semula disini

Sumber: 

17 October 2013

Cegah Buasir Sebelum Semakin Parah




Masalah buasir pada golongan dewasa adalah perkara biasa, namun tidak ramai yang sanggup bercerita mengenai masalah pembuangan air besar dialami disebabkan ia berkaitan dengan bahagian sulit. Mengabaikan masalah buasir tanpa mengambil langkah pencegahan boleh menyebabkan ia menjadi teruk lagi.

Buasir atau hemoroid adalah pembengkakan pada vena (saluran darah) yang terletak di bahagian rektum dan dubur. Apabila vena ini membonjol keluar ia mengganggu dan menyebabkan membran (lapisan kulit) di sekitarnya membengkak, terasa sakit, perit, gatal dan berdarah.

ppp
Pangkal dubur; vena (berwarna biru) bengkak

Kewujudan tisu buasir adalah satu komponen normal dalam anatomi badan manusia. Ia bertindak sebagai ‘kusyen’ yang kaya dengan saluran darah di dubur dan menjadi ‘pelapik termampat’ untuk membenarkan dubur tertutup dengan ketat.

Apabila seseorang mengalami sembelit dan cuba meneran najis yang keras dengan kuat ketika membuang air besar, struktur terbabit akan membengkak dan boleh terjulur keluar dari dubur terutamanya semasa atau selepas membuang air besar. Ia juga boleh pecah dan menyebabkan pendarahan.

Saiz buasir boleh jadi sekecil-kecil kacang pis sehinggalah sebesar saiz anggur atau lebih besar lagi. Berjumpalah dengan doktor untuk pemeriksaan sekiranya anda mengalami pendarahan kerana dikhuatiri ia bukan buasir tetapi kanser kolorektal (kanser usus besar dan dubur).

Antara Tanda-tanda dan Gejala

  • Gumpalan lembut atau gumpalan yang kecil atau besar  boleh dirasai sekitar bahagian dubur.
  • Rasa gatal atau pedih di sekitar dubur.
  • Pendarahan, titisan darah merah cerah terutamanya selepas atau semasa membuang air besar diikuti rasa perit dan sakit

Antara Penyebab Utama yang Meningkatkan Risiko

  • Sentiasa duduk
  • Meneran (ketika najis keras atau sembelit)
  • Cirit-birit
  • Duduk mencangkung di dalam tandas terlalu lama
  • Batuk yang teruk
  • Bersalin
  • Sentiasa mengangkat barangan berat
  • Pengamalan seks melalui dubur oleh golongan heteroseksual dan homoseksual.

Risiko buasir meningkat semasa mengandung?

Mengandung menyebabkan anda lebih mudah mendapat buasir. Masalah ini kebiasaannya muncul semasa minggu ke 27 sehingga melahirkan. Sekiranya anda mendapat buasir sebelum mengandung, kemungkinan anda akan mengalaminya semula semasa mengandung.

Buasir juga boleh terbentuk semasa bersalin kerana meneran diperlukan pada waktu itu. Rahim yang semakin membesar memberikan tekanan pada bahagian vena pada usus besar. Tambahan pula, masalah sembelit yang sering berlaku dalam kalangan ibu mengandung meningkatkan lagi risiko mendapat buasir. 

Selain itu, hormon progesteron yang meningkat semasa mengandung menyebabkan saluran darah melebar (relax) dan menyebabkan vena lebih muda bengkak. Hormon ini juga menyumbangkan kepada masalah sembelit kerana melambatkan pergerakan hadaman pada usus.

Kebiasaannya, buasir yang terbentuk semasa mengandung akan sembuh selepas anda bersalin terutamanya jika anda mengambil langkah pencegahan dengan lebih berhati-hati

Langkah Pencegahan

  • Elak sembelit!
  1. Makan makanan yang tinggi serat seperti sayuran, buah betik, pisang dan pelbagai buah lain serta makanan gandum penuh seperti roti whole meal, biskut oat, minuman oat dan sebagainya.
  2. Minum banyak air setiap hari (8-10 gelas).
  3. Dapatkan ubat daripada doktor sekiranya anda mengalami sembelit yang berpanjangan
  • Jangan tunggu atau tahan sekiranya anda ingin membuang air besar. Cuba untuk tidak meneran dan jangan duduk terlalu lama pada mangkuk tandas kerana ia akan memberikan tekanan pada kawasan dubur.
  • Lakukan Senaman Kegel kerana ia akan menguatkan otot pada kawasan dubur. Angkat kawasan pelvik selama 3 saat dan baring semula 3 saat. Lakukan 10-15 kali selama beberapa kali setiap hari.
  • Hembuskan nafas keluar apabila anda ketegangan atau ketika mengangkat sesuatu. Jangan menahan nafas anda.
  • Kurangkan duduk atau berdiri statik terlalu lama, ini akan memberikan tekanan kepada kawasan rektum anda. Sekiranya pekerjaan anda memerlukan  anda duduk lama, bangun dan bergeraklah untuk beberapa minit setiap jam.

postnatal-1024x665
Senaman Kagel

Pencegahan awal amat penting untuk proses penyembuhan buasir yang lebih cepat dan mengelakkan ia datang semula. Jangan tunggu sehingga teruk baru ingin berjumpa dengan doktor! 

****Artikel ini diitulis oleh UbatPensil di KeluargaBaru.com (artikel 10 Okt 2013) kemudian diterbitkan semula disini

Sumber: 

24 August 2013

Tips Kekalkan Vitamin Dalam Sayur



Sayur kaya dengan pelbagai nutrien! kalau hendak diceritakan semua pasti menjadi sebuah buku tebal. Ia mengandungi pelbagai vitamin, contohnya vitamin C berfungsi untuk menguatkan sistem imun badan, awet muda dan melawan kanser. Sayangnya, vitamin sangat rapuh dan mudah rosak hanya dengan terkena oksigen, air, haba dan cahaya matahari. Terutamanya vitamin C dan B.

Kita mahu memakan sayur tanpa mengurangkan khasiat padanya. Mungkin mustahil kerana kandungan vitamin pada sayur mula berkurang sedikit demi sedikit tatkala ia dipetik. Namun anda boleh mengurangkan kadar kehilangan vitamin pada sayur jika anda mengikuti tips berikut:

1. Makan sayur yang segar!


Kandungan nutrisi pada sayur mula berkurang apabila dipetik. Beli sayur yang paling segar dan jangan simpan lama di dalam peti sejuk. Kalau boleh, lepas beli terus masak! Kalau anda hendak menyimpan sayur, simpan di dalam pesti sejuk untuk kekalkan kesegarannya. Jangan basuh atau potong. Jika sayur anda sudah dipotong, simpan di dalam bekas yang tertutup rapat di dalam peti sejuk.

2. Potong dan basuh sayur dengan betul!


Vitamin B dan C mudah larut dan hilang di dalam air. Oleh itu, pastikan anda tidak merendam atau membasuh sayur lama. Ia akan menyebabkan kehilangan lebih banyak vitamin. Sayur yang mempunyai kulit seperti timun, petola, peria dan sebagainya tidak akan kehilangan vitamin apabila dibasuh sebelum dipotong kerana kulit padanya melindungi bahagian dalam sayur yang kaya dengan vitamin.

Oleh itu, anda dinasihatkan untuk membasuh sayur sebelum memotongnya kepada potongan kecil. Sayur yang dipotong kecil akan menyebabkan bahagian dalam sayur terdedah. Apabila dibasuh dalam keadaan sudah dipotong kecil, vitamin pada bahagian dalam sayur akan terkena air dan larut serta hilang.

Kalau boleh, elakkan memotong sayur dengan kecil apabila memasak. Haba boleh merosakkan vitamin itu. Masak terung dengan belahan besar lebih berkhasiat daripada potongan kecil. Walau apapun, basuhlah sayur kerana racun perosak yang melekat pada sayur itu sangat berbahaya kepada kesihatan!



3. Masak sihat!


Pakar pemakanan mecadangkan cara masak yang paling sihat ialah secara stim atau masak menggunakan ketuhar dalam waktu yang singkat. Cara masak yang lain seperti sup, tumis atau grill juga boleh dipertimbangkan. Kuncinya ialah jangan masak lama! Bukan sahaja sayur menjadi lembik dan tidak sedap. Khasiat padanya juga rosak.

Selain daripada teknik masak yang betul, ada cara lain untuk mendapat khasiat yang lebih banyak daripada sayur. Kebanyakan nutrien lebih berkesan apabila bekerjasama dengan nutrien yang lain. Contohnya, badan anda dapat menyerap dengan lebih banyak zat besi pada sayur jika anda makan bersama makanan yang kaya dengan vitamin C. Masak bersama tomato (vitamin C) dan sayur sawi (zat besi) sebagai cadangan. Atau lebih sedap lagi, masaklah sayur campur untuk khasiat yang berganda!

4. Makan mentah!


Ini adalah cara paling mudah dan berkhasiat. Anda boleh sediakan salad campur, tambah mayonis dan sos thousand island, siap. Hanya basuh sekejap sayur, tiada haba digunakan, insyaAllah vitamin serta khasiat lain pada sayur tidak terjejas sangat.

5. Sayur kaya karotenoid perlu dimasak?


Menurut kajian, karotenoid (vitamin A) lebih mudah diserap dalam badan apabila dimakan bersama sedikit lemak seperti minyak serta dimasak berbanding makan segar. Oleh itu, sayur seperti lobak, labu, ubi kayu, tomato atau apa sahaja sayur yang berwarna terang (oren, kuning, merah dll) lebih sesuai dimasak tumis bersama minyak jika anda ingin mendapatkan serapan karotenoid yang lebih berkesan.

sayur dan buah yang kaya dengan karotenoid














Sebagai fakta tambahan, kandungan serat pada sayur tidak akan terjejas walaupun anda memasaknya sehingga lembik.

Kementerian Kesihatan Malaysia menyarankan kita memakan 4 ke 5 hidangan sayur dan buah-buahan setiap hari. Bukan sahaja untuk kekal sihat dengan sistem imun yang lebih kuat, memakan lebih banyak sayur juga boleh mengurangkan risiko sakit jantung dan tekanan darah tinggi!

Mari masak dan makan sayur secara sihat!

Sumber:

14 August 2013

Cara Memanaskan Badan Dengan Betul

Mengapa perlu panaskan (warm up) dan sejukkan (cool down) badan?


Rutin ini sangat penting untuk mengurangkan risiko kecederaan dan menambah-baik lagi prestasi anda semasa bersukan. Aktiviti memanaskan dan menyejukkan badan ialah satu aktiviti yang ringan dan tidak lasak.

Warming up boleh membantu badan anda bersedia untuk melakukan aktiviti aerobik (aktiviti lasak). Dengan memanaskan badan, sistem pernafasan dan kardiovaskular akan meningkat secara berperingkat kemudian darah yang mengalir ke otot akan turut meningkat serta menaikkan suhu badan. Sekiranya kita melakukan aktiviti lasak secara mengejut, badan akan mengalami pelbagai masalah seperti kejang otot dan cedera.

Cooling down selepas bersenam pula boleh membantu menurunkan suhu otot secara berperingkat terutamanya selepas melakukan senaman berat. Aktiviti ini juga boleh membantu mengurangkan risiko otot cedera, kejang dan sakit.

Bagaimana hendak memanaskan badan (warm up)?


Lakukan pemanasan badan sebelum memulakan aktiviti. Secara amnya, fokus pada otot utama semasa memanaskan badan seperti hamstring (pangkal peha). Kemudian anda boleh melakukan senaman ringan lebih spesifik kepada jenis sukan anda. Contohnya, jika lari pecut, panaskan badan dengan berlari anak; jika aktiviti berkayak, panaskan otot bahagian lengan menggunakan pengayuh kayak; jika bersilat, panaskan otot dengan tumbukan dan tendangan dsbg. Kalau boleh, panaskan badan sehingga anda berpeluh sedikit tapi jangan sampai kepenatan!

Berikut adalah contoh gerakan memanaskan badan:
  • Panaskan badan untuk aktiviti jalan pantas: Berjalan perlahan selama 5-10 minit
  • Panaskan badan untuk aktiviti berlari: Berjalan pantas 5-10 minit
  • Panaskan badan untuk latihan kekuatan (seperti menggunakan pemberat, dumbbell dll): Gerakkan sendi dan otot mengikut pola pergerakan semasa menggunakan pemberat tetapi jangan gunakan pemberat
  • Panaskan badan untuk bermain bola sepak: Berlari anak membawa bola mengikut gerakan latihan yang dipelajari tetapi lebih perlahan
  • Panaskan badan untuk berenang: Berenang perlahan selama beberapa minit

Bagaimana hendak menyejukkan badan (cool down)?


Menyejukkan badan lebih kurang sama seperti memanaskan badan. Anda terus lakukan aktiviti sukan tetapi pada kadar yang lebih perlahan dan tidak lasak. Menyejukkan badan sangat penting untuk atlet sukan yang aktif seperti ahli marathon. Ia penting untuk menyeimbangkan aliran darah di dalam badan selepas berlari. Untuk orang biasa, menyejukkan badan hanyalah sebagai aktiviti pelengkap dalam sesebuah senaman dan bukanlah satu kewajipan.

Contoh aktiviti menyejukkan badan:
  • Untuk aktiviti berjalan pantas, sejukkan badan dengan terus berjalan tetapi perlahan 5-10 minit
  • Untuk aktiviti berlari, sejukkan badan dengan terus berjalan pantas dalam masa 5-10 minit
  • Untuk aktiviti berenang, sejukkan badan dan otot dengan berenang perlahan 5-10 minit

Berkenaan dengan Regangan (Stretching)


Regangan seeloknya dilakukan semasa menyejukkan badan selepas bersenam bukan sebelum memanaskan badan. Meregangkan otot yang sejuk sebelum memanaskan badan boleh mencederakan otot anda. Sekiranya anda ingin melakukan regangan sebelum bersenam, pastikan anda sudah memanaskan badan selama sekurang-kurangnya 5 – 10 minit.

Ayuh amalkan gaya hidup sihat dengan bersenam dengan betul!   

Sumber:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...