26 January 2015

Madu boleh membawa Maut kepada Bayi


Tidak dapat dinafikan madu kaya dengan khasiat seperti zat besi, kalsium, fosfat dan banyak lagi. Ia dapat merawat alergik, melawan jangkitan kuman dan dipercayai mampu menyembuhkan luka dan lecur. 

Namun begitu, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika, madu merupakan salah satu penyebab bahaya
dimana bayi boleh mendapat ‘Botulism Bayi’ (Infant Botulism). Walaupun kes botulism bayi jarang berlaku, namun ia sangat berbahaya kerana boleh membawa maut kepada bayi kecil. 

Botulism bayi berpunca daripada toksik yang dihasilkan oleh bakteria Clostridium Botulinum. Cara penyimpanan makanan yang tidak bersih boleh menyebabkan bakteria ini membiak pada makanan kemudian menyebabkan keracunan makanan kepada pengguna. Berbeza dengan madu, bukan kerana cara penyimpanan yang salah tetapi madu mengandungi bakteria ini secara semulajadi. 

Bagaimana Madu boleh mengandungi Bakteria C. Botulinum?

 

Ramai yang tahu, bahawa madu tidak akan pernah rosak atau basi kerana mempunyai ciri-ciri antimikrob dan antikulat padanya. Pernah suatu ketika, madu ditemui dalam timbunan harta firaun di dalam Piramid Mesir yang berusia ribuan tahun dalam keadaan yang masih elok! Tetapi bagaimana bakteria C. Botulinum boleh mencemari madu?

Jawapannya adalah lebah. Semasa lebah mengumpul debunga, ia akan hinggap pada banyak tempat seperti tanah dan habuk-habuk yang kotor akan melekat pada badannya. Kotoran seperti tanah kebiasaannya telah dicemari dengan C. Botulinum. Apabila lebah kembali ke sarang untuk membuat madu, disitulah berlakunya ‘pencemaran’ pada madu yang dihasilkan.

Madu berbahaya kepada bayi?

 

Ya, kepada bayi yang berumur 12 bulan ke bawah. Risiko botulism bayi semakin tinggi kepada bayi di bawah umur 6 bulan. Apabila bayi menelan makanan yang mengandungi C. Botulinum, bakteria tersebut akan membiak di dalam usus dan menghasilkan toksik yang berbahaya. Ia berbeza kepada orang dewasa,usus orang dewasa yang telah matang mengandungi bakteria baik yang dapat melawan C. Botulinum.

Madu mempunyai potensi yang tinggi mengandungi bakteria berbahaya ini. Oleh sebab itu Persatuan Pediatrik Amerika (AAP), menyarankan kepada bayi berumur 12 bulan ke bawah kerana sistem penghadaman yang masih belum matang. Elakkan menggunakan madu di dalam makanan atau minuman bayi untuk menambah rasa manis.

Toksik berbahaya yang terhasil di dalam usus bayi boleh menyebabkan sembelit, lemah, tiada selera makan, tangisan lemah dan otot sukar bergerak. Ini merupakan tanda-tanda kelumpuhan otot yang disebabkan toksin tersebut. JIka tidak dirawat, kelumpuhan akan merebak sehingga ke tangan, kaki, badan serta saluran pernafasan sehingga menyebabkan kesukaran bernafas.   

Sekiranya anak anda termakan makanan yang mengandungi madu dan menunjukkan tanda-tanda botulism bayi, bawalah ke klinik dengan serta merta.


Langkah Pencegahan Botulism Bayi


Selain daripada mengelakkan bayi berumur 6 bulan ke bawah daripada memakan madu, berikut adalah antara langkah pencegahan lain;

  • Didihkan makanan daripada tin sekurang-kurangnya 10 minit untuk menghapuskan toksin
  • Elakkan memberi makan makanan yang tidak dimasak seperti buah-buahan atau sayuran segar kerana dikhuatiri dicemari toksin
  • Jangan berikan makanan yang kelihatan seperti hendak basi
  • Buang tin yang kelihatan kembung. Kemungkinan ia adalah gas yang dihasilkan C. Botulism
Selain daripada risiko botulism bayi, madu yang ditambah dalam makanan atau minuman juga boleh merosakkan gigi bayi. Berilah  makanan yang bersih, berkhasiat dan terbaik untuk anak kecil anda. Anak anda bukan sahaja akan membesar dengan sihat, tetapi terselamat daripada penyakit yang boleh membawa maut.

****Artikel ini ditulis oleh UbatPensil di KeluargaBaru.com (artikel 13 Okt 2014) kemudian diterbitkan semula disini 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...