28 August 2014

Video viral ALS Ice Bucket Challenge: Bukan sekadar Baldi dan Ais Batu


Sejak beberapa minggu ini, media sosial dipenuhi dengan video pendek ber-hashtag #ALSIceBucketChallenge dari serata dunia. Daripada Bill Gates, Mark Zuckerberg, Oprah sehinggalah orang ternama di Malaysia seperti YB Khairy Jamaluddin dan YB Nurul Izzah (dengan sedikit kelainan).

Mengapa #ALSIceBucketChallenge  dilakukan?


Aktiviti ini dilakukan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang penyakit ALS atau dikenali sebagai Amyotrophic Lateral Sclerosis, sejenis penyakit saraf yang membawa maut. 5600 orang didiagnos dengan penyakit ini setiap tahun, 50% daripadanya hidup sekurang-kurangnya dua tahun selepas didiagnos, 20% hidup selepas 5 tahun dan hanya 10% dapat bertahan lebih 10 tahun.

Dengan tersebarnya video ini diikuti dengan cabar-mencabar dalam kalangan rakan media sosial, kesedaran tentang kewujudan penyakit ini semakin meningkat. Aktiviti ini turut mendorong orang ramai untuk menderma kepada sebuah Persatuan ALS yang berpusat di Amerika yang dikenali sebagai ALS Association agar mereka mendapat dana untuk membuat kajian tentang penawar ALS yang belum lagi ditemui sehingga kini. Dalam masa beberapa minggu sahaja, ALS Association mendapat derma sebanyak $31.5 juta (RM 99 juta) daripada seluruh dunia!


Bagaimana #ALSIceBucketChallenge  dilakukan?


Secara asasnya, anda perlu membuat rakaman, perkenalkan diri serta memberitahu bahawa anda menyahut cabaran ini. Kemudian sediakan baldi dengan ais batu dan siram ke atas kepala. Ia diikuti dengan #shoutout (mencabar/mencalonkan) 3 kawan lain dengan menyebut nama mereka. Calon perlu melakukan cabaran ini dalam masa 24 jam.

Pelbagai versi peraturan untuk cabaran ini, ada yang memberi pilihan antara melakukan rakaman aksi ini atau menderma atau kedua-duanya sekali. Ada juga yang menetapkan sesiapa yang dicabar berjaya melakukannya akan menderma $10 sekiranya tidak ingin melakukannya derma $100.

Kenali Penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS)


ALS ini turut dikenali sebagai Penyakit Lou Gehrig (Lou Gehrig’s Disease) bersempena dengan nama pemain besbol terkenal Amerika pada tahun 1930-an. Beliau meninggal di usia muda kerana penyakit ini. Stephen Hawking, seorang saintis genius yang terkenal serta pemain bola sepak lagenda negara, Allahyarham Dato' Mokhtar Dahari juga menghidap penyakit ini.

Ia merupakan penyakit saraf yang menyerang sistem saraf perlahan-lahan dan merosakkan sel-sel neuron di dalam otak dan saraf tunjang yang boleh menyebabkan kematian. Apabila sel neuron motor (yang mengawal pergerakan otot) rosak, kebolehan otak untuk mengawal pergerakan badan semakin lemah sehinggalah pesakit akan lumpuh sepenuhnya.

Sebab kepada ALS masih lagi tidak pasti dan kemungkinan besar disebabkan oleh;
  • Genetik dalam badan yang berubah (mutasi)
  • Kimia tidak seimbang dalam badan (bahan kimia Glutamate terlalu tinggi dan menyebabkan toksik pada otak)
  • Sistem imun tidak betul (menyerang sel sendiri)

Gejala dan Tanda-Tanda ALS


Gejala dan tanda-tanda awal:
  • Sukar berjalan, atau melakukan aktiviti harian dengan normal
  • Rasa lemah pada kaki, lutut atau buku lali
  • Tangan lemah dan rasa kaku memegang sesuatu
  • Kesukaran untuk menelan dan bercakap dengan jelas
  • Kejang otot di tangan, bahu dan lidah
  • Kesukaran untuk menegakkan kepala atau berdiri tegak

Penyakit ini bermula di tangan, kemudian kaki, dan merabak ke seluruh otot badan. Otot badan akan menjadi semakin lemah sehinggalah menyebabkan pesakit sukar untuk mengunyah, menelan, bercakap mahupun bernafas.

Namun begitu, ia tidak memberi kesan kepada sistem pencernaan, emosi, deria, serta kebolehan berfikir. Oleh itu, sokongan daripada kawan-kawan sangat penting untuk meningkatkan motivasi pesakit.


Siapa yang Berisiko mendapat ALS?

  • Keturunan: Keluarga yang mempunyai sejarah ALS berisiko tinggi untuk menghidapnya. 5-10% pesakit ALS mempunyai sejarah ALS di dalam keluarganya.
  • Umur: 40-60 tahun merupakan umur yang berisiko tinggi mendapat ALS
  • Jantina: Lelaki lebih mudah mendapat ALS berbanding wanita semasa umur di bawah 65 tahun. Selepas umur 70 tahun, perbezaan jantina tidak kelihatan.
  • Merokok: Perokok mempunyai risiko dua kali ganda berbanding bukan perokok. Semakin lama merokok, semakin tinggi risiko
  • Terdedah dengan bahan kimia plumbum semasa bekerja di lapangan


Adakah anda perlu lakukan #ALSIceBucketChallenge?



Bergantung kepada keberanian anda. Namun anda perlu berhati-hati ketika melakukannya dan jangan melampaui batas kemampuan anda. Banyak kemalangan yang dilaporkan akibat daripada cabaran ini. Kebanyakannya tertimpa dengan baldi semasa kawan-kawan menyiram ke atasnya.

Ada juga yang lebam-lebam kerana disiram air dan ais batu seberat hampir 100 kg! Selain kecederaan kepala, kejutan daripada air yang terlalu sejuk boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti sakit jantung, muntah atau pengsan.

Janganlah terlalu teruja sehingga membahayakan diri dan membazir air! Cukuplah sekadar untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dengan menggunakan segelas air sejuk atau pun lebih mudah, share sahaja video-video mereka. Video hanyalah sampingan untuk menarik perhatian awam. Yang paling penting adalah menderma!

KEMASKINI: Pungutan derma ALS Association kini meningkat sehingga $100 juta (RM315 juta) - 30/8

Sumber: 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...