18 February 2014

Kencing Manis Semasa Hamil dan Diet yang Sesuai

Kencing Manis Semasa Hamil

Apa itu Kencing Manis Semasa Hamil (Diabetis Gestasi)?

Sekiranya wanita yang mengandung disahkan menghidapi kencing manis, ia dikenali sebagai diabetis gestasi atau kencing manis semasa hamil. Kebiasaannya setiap wanita mengandung akan menjalani ujian diagnosis untuk mengenal pasti sama ada mereka menghidapi penyakit ini dengan Ujian Toleransi Glukosa Oral (OGTT).
Diabetis Gestasi berlaku kerana perubahan hormon di dalam badan akibat kehamilan. Hormon insulin yang berfungsi untuk mengawal paras gula tidak dapat dihasilkan secukupnya oleh pankreas semasa mengandung. Ini akan mengakibatkan paras gula dalam darah tidak terkawal dan akan meningkat.
Pada masa yang sama hormon yang dihasilkan oleh uri bayi bagi tujuan tumbesaran turut menghalang badan si ibu menggunakan hormon insulin dengan efisien.
Anda tidak perlu terlalu risau sekiranya disahkan menghidapi Diabetes Gestasi kerana ia bukanlah sesuatu yang luarbiasa. 2 hingga 14% ibu hamil diserang penyakit ini. Gestasi Diabetis berbeza dengan Diabetis Jenis 1 dan 2 kerana kebiasaannya paras gula dalam darah akan kembali normal selepas bersalin.

Siapakah yang berisiko untuk mempunyai Diabetis Gestasi?

  • Indeks jisim badan (BMI) lebih daripada 30;
  • Dahulu telah melahirkan bayi yang besar dengan berat sebanyak 4kg atau lebih;
  • Menghidapi Diabetis Gestasi sebelum ini;
  • Keluarga mempunyai sejarah kencing manis (ibu atau bapa, datuk atau adik-beradik mempunyai kencing manis);
  • Keluarga dari nenek moyang yang mempunyai sejarah kencing manis yang tinggi, dan ini lebih ketara jika anda dari keturunan Asia Selatan, Caribbean berkulit gelap atau Timur Tengah.

Kesan Diabetis Gestasi Kepada Bayi dan Si Ibu

Sekiranya ibu hamil tidak mengamalkan langkah penjagaan kesihatan yang optimum, ia mampu memberikan kesan negatif kepada bayi dalam kandungan terutamanya apabila paras gula dalam darah terlalu tinggi.
Gula yang banyak di dalam darah akan merentasi plasenta ke bayi dalam kandungan. Akibatnya, saiz bayi akan menjadi terlalu besar kerana menerima bekalan gula yang banyak. Bayi yang besar menyukarkan proses bersalin, dikhuatiri pembedahan caesarean terpaksa dilakukan.
Menurut kajian, bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mengalami Diabetis Gestasi didapati cenderung untuk mendapat obesiti dan diabetis jenis kedua apabila mereka membesar dewasa.
Tambahan itu, walaupun Diabetis Gestasi ini kebiasaannya akan hilang selepas melahirkan,si ibu boleh mendapat diabetis mellitus jenis kedua yang kronik sekiranya mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengawal paras gula dalam darah.

Rawatan untuk Diabetis Gestasi

Langkah yang terbaik untuk merawat penyakit ini sudah tentu dengan mengubah cara pemakanan dengan lebih sesuai dan sihat. Berikut adalah antara tips diet sihat untuk pesakit Diabetis Gestasi

1. Agihkan jumlah makanan sehari kepada 3 kali waktu makan utama (sarapan, makan tengahari, makan malam) dan 2 ke 3 kali makan ringan setiap hari.

Makan terlalu banyak dalam satu masa boleh meningkatkan kadar gula dalam darah dengan mendadak. Sebaiknya, amalkan memakan snek seperti roti gandum penuh, buah atau salad di antara waktu makan utama (contoh: minum pagi, minum petang) bagi memastikan anda tidak terlalu lapar kemudian makan dengan banyak semasa waktu makan utama. Namun demikian, pemilihan snek perlulah betul.
Dalam pada itu, jangan pernah tinggalkan waktu makan semasa mengandung kerana bayi dan badan anda memerlukan ekstra nutrisi daripada pelbagai sumber makanan.

2.    Makan daripada kumpulan kanji pada kadar yang betul

Kadar yang betul itu bermaksud, lebih kurang 2-3 senduk nasi (rata) atau 2 keping roti. Banyakkan jumlah sayur di dalam pinggan kerana serat pada sayur boleh menjadikan anda kenyang lebih cepat dan lebih lama.
Makanan daripada kumpulan kanji seperti nasi, mi, roti, atau kuih muih berasaskan tepung gandum akan bertukar menjadi gula apabila diproses dalam badan. Sekiranya anda terlalu banyak memakan makanan berasaskan kanji, ia mampu meningkatkan gula dalam darah dengan mendadak.
Terdapat dua jenis makanan berkanji; Kanji kompleks dan Kanji halus. Nasi putih dan roti putih dikenali sebagai kanji halus yang begitu mudah bertukar menjadi gula semasa diproses dalam badan. Makanan ini tidak disarankan dimakan terlalu banyak oleh pesakit diabetis kerana ia mampu meningkatkan kadar gula dengan sangat cepat.
Sebaliknya, anda boleh memakan nasi perang dan roti gandum penuh yang merupakan kanji kompleks. Makanan ini mengambil masa untuk diproses menjadi gula. Justeru, mampu menstabilkan kadar gula dalam darah daripada mencanak naik dengan mendadak. Beras Ponni yang tidak mengandungi kanji juga antara pilihan yang baik.
karbohidrat kompleks Kencing Manis Semasa Hamil dan Diet yang Sesuai
Makanan kumpulan kanji

3.    Minum susu hanya satu gelas (lebih kurang satu mug) pada satu masa

Susu sememangnya berkhasiat kerana kaya dengan kalsium dan ia amat penting untuk diminum semasa mengandung. Namun begitu, susu juga mengandungi karbohidrat. Minum terlalu banyak pada satu masa boleh meningkatkan kadar gula dalam darah dengan cepat.

4.    Hadkan pengambilan buah-buahan

Buah juga makanan berkhasiat tetapi tinggi dengan gula. Anda boleh makan 1 hingga 3 sajian setiap hari tapi jangan makan sekaligus dalam satu masa.Satu sajian bermaksud sebiji bagi buah kecil (epal, pisang, oren) dan sepotong bagi buah besar (tembikai, tembikai susu, betik), 8 biji anggur, 5 biji rambutan dan banyak lagi

5.    Kurangkan makanan manis dan pencuci mulut

Kek, kuih, gula-gula dan pastri kebiasaannya mempunyai kandungan kanji halus yang amat tinggi. Makanan ini juga biasanya tinggi lemak dan rendah khasiat. Kurangkan juga pengambilan air manis dan minuman berkarbonat.Selain daripada tips pemakanan sihat diatas, ibu hamil juga perlu mengamalkan gaya hidup aktif seperti bersenam ringan seperti berjalan kaki, menaiki tangga atau membuat kerja rumah – sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari.

18 January 2014

Berita: Matahari Terbit 'Tiruan' untuk Rakyat Beijing




Masalah jerebu dan China sudah tidak asing lagi malah semakin teruk dari hari ke hari akibat pencemaran udara yang tidak terkawal. Kalau tahun lepas seorang jutawan, Chen Guangbiao menjual tin 'udara segar' dengan harga 80 sen setin [baca], kali ini kerajaan China menayangkan matahari terbit tiruan kepada penduduk dan pelancong di sana.

tin udara segar
TV besar yang itu asalnya digunakan untuk menayangkan iklan tentang pelancongan tetapi disebabkan jerebu sangat tebal melanda Beijing semalam,  TV tersebut digunakan untuk menayangkan visual matahari terbit. Jerebu sangat tebal semalam sehingga mereka tidak dapat melihat matahari apatah lagi bangunan-bangunan tinggi. Jerebu yang melanda sejak dua tiga tahun ini juga sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada kesihatan penduduk tempatan.

Pencemaran udara berlaku adalah akibat daripada kilang batu arang yang beroperasi secara meluas di China. Pihak kerajaan telah mengeluarkan banyak undang-undang dan peraturan untuk mengawal pencemaran tetapi sukar untuk menguatkuasakannya secara tegas ekoran perusahaan tersebut sangat berpengaruh.




Namun demikian, China telah berjaya menghentikan operasi 8000 lebih kilang yang mengakibatkan pencemaran yang teruk tahun lepas.

Sumber: Mail Online

15 January 2014

Bahaya Menggunakan Cotton Bud





Apa itu Tahi Telinga? 


Manusia mempunyai beberapa jenis kalenjar peluh yang mengeluarkan peluh yang berlainan jenis. Salah satu kalenjar peluh - hanya terdapat di dalam telinga - dikenali sebagai 'ceruminous gland' yang menghasilkan cecair yang bernama cerumen atau tahi telinga

Tahi telinga bukanlah seperti bahan yang anda buang di dalam lubang tandas itu; busuk, bertoksik, berbahaya dan harus dibuang. Tahi telinga sangat penting untuk telinga manusia sebagai cecair yang menghalang bendasing seperti serangga kecil dan habuk masuk ke dalam telinga yang boleh menyebabkan jangkitan.

Tahi telinga yang memerangkap bendasing itu akan keluar sendiri daripada telinga dalam bentuk melekit seperti lilin yang cair tanpa kita sedari. Telinga mempunyai mekanisma tersendiri untuk membersih keluar tahi telinga dengan bantuan pergerakan rahang manusia semasa mengunyah.

Bahaya Cotton Bud


Menggunakan cotton bud dengan kerap adalah berbahaya kepada telinga! cotton bud hanya akan menolak lagi tahi telinga ke dalam tanpa disedari dan menyebabkan tahi telinga berkumpul, mengeras dan menyebabkan jangkitan kuman.

Kesan yang lain, sekiranya telinga anda terlalu bersih - tiada lagi cecair tahi telinga yang tersisa, permukaan telinga anda akan lebih terdedah jangkitan kuman. Selain itu, jika cotton bud dimasukkan terlalu dalam, ia boleh mencederakan gegendang telinga anda yang sangat nipis dan boleh menyebabkan pekak.

gegendang telinga sangat nipis
Menurut ramai pakar, pembersihan saluran telinga sangat tidak digalakkan. Sedikit air yang masuk ke dalam telinga semasa anda bersyampu atau berwuduk sudah cukup untuk melembutkan tahi telinga dan menyebabkan ia mengalir keluar.

Cara Penggunaan yang Selamat


Penggunaan cotton bud sudah memadai untuk membersihkan bahagian luar telinga, belakang telinga dan bahagian paling luar saluran telinga. Itu pun, jangan lakukan terlalu kerap. Sekiranya anda rasa telinga anda tersumbat, jangan cuba bersihkan sendiri kerana ia berbahaya. Pergilah ke klinik untuk pemeriksaan telinga dan pembersihan yang lebih selamat.
bahagian luar sahaja dan jangan selalu bersihkan!
Ingat. Tahi telinga itu baik untuk anda dan tidak patut dibersihkan daripada saluran telinga.

Sumber:

13 January 2014

Gosok Gigi SEBELUM Tidur itu SANGAT PENTING!



Gigi sangat penting untuk mengunyah dan juga perhiasan mulut bagi senyuman yang cantik. Rupa dan senyuman menawan tetapi mulut yang busuk juga tidak berguna. Oleh itu, penjagaan gigi yang betul sangat penting untuk mengekalkan kekuatan dan kecantikan gigi.

Di dalam mulut manusia terdapat beberapa kalenjar air liur yang berfungsi bukan sahaja memudahkan makanan menjadi lembut semasa mengunyah, tetapi penting untuk mengawal pembiakan bakteria yang boleh membuatkan gigi rosak dan mulut berbau busuk.

Mulut akan sentiasa menghasilkan air liur sepanjang hari untuk memastikan mulut sentiasa bersih. Kalenjar semakin aktif merembeskan air liur semasa makan. Bakteria juga tidak dapat tinggal lama di dalam mulut apabila kita menelan makanan atau air liur. Ia akan dibawa ke perut untuk untuk dicerna.

Walaubagaimanapun, penghasilan air liur berkurangan semasa kita tidur. Air liur yang sedikit tidak dapat mengekalkan fungsinya untuk memastikan mulut bersih dan segar. Sebab itulah selepas kita bangun tidur, mulut kita akan berbau kurang enak. Bakteria yang ada di dalam mulut itulah punca mulut berbau dan ia sangat cepat membiak semasa air liur sedikit.

3 jenis kalenjar air liur dalam mulut


Oleh itu, pakar-pakar pergigian sangat sangat sangat menggalakkan anda menggosok gigi SEBELUM tidur. Bakteria daripada makanan yang tersisa dalam mulut harus dibersihkan sebelum tidur. Gigi akan mudah rosak sekiranya bakteria dibiarkan bermaharajalela di dalam mulut yang tidak dibersihkan sebelum tidur kerana air liur yang sangat sedikit dihasilkan semasa tidur tidak dapat membunuh bakteria dalam mulut. 

Selain itu, makanan manis adalah makanan yang paling mudah merosakkan gigi kerana ia boleh menyebabkan mulut berasid yang boleh menghakis gigi. Bakteria akan memakan makanan manis itu dan menghasilkan bahan berasid di dalam mulut kita. Mulut berasid boleh menyebabkan karies gigi dan mulut berbau.

Kurangkan memakan makanan kariogenik (manis dan masam) yang mudah merosakkan gigi. Banyakkan meminum air kosong untuk meningkatkan kadar pH selepas makan benda manis untuk mengurangkan asid dalam mulut .

Karies gigi pada kanak-kanak yang banyak makan benda manis

Ramai orang yang memandang remeh menggosok gigi sebelum tidur. Ada yang menggosok gigi... tetapi selepas itu sambung makan. Makanan manis pula tu! kemudian terus tidur. 

tak patut....

Belum pernah terlambat untuk berubah. Jagalah gigi anda. Gosoklah gigi sebelum tidur. 

Dan jangan  makan lagi selepas gosok gigi tu!

Sumber:
Nasihat daripada doktor gigi.

08 January 2014

Pendidikan Percuma Di Internet


Sesuatu yang percuma adalah sesuatu yang semua orang suka. Alhamdulillah dengan perkembangan teknologi dan penggunaan internet yang meningkat membuatkan pencarian ilmu itu semakin mudah hanya di hujung sentuhan jari jemari anda. Banyak wadah seperti video, laman diskusi, website ilmiah yang boleh meningkatkan pengetahuan tanpa sebarang bayaran apa-apa. 

Lebih menyeronokkan lagi sekiranya anda berpeluang mengikuti kelas/kuliah secara percuma hanya melalui internet. Sama seperti mengikuti pelajaran di universiti, anda perlu 'datang' ke kelas melalui 'live streaming' untuk mendengar kuliah daripada professor atau pensyarah bertauliah daripada universiti yang diiktiraf. Disitu terdapat juga ruangan diskusi untuk kita berbincang dengan 'classmate' tentang pelajaran yang diikuti.

Nak belajar? Caranya mudah; Sign up, pilih course apa yang hendak dipelajari dan tarikh kuliah bermula akan diberitahu. Kebiasaannya, ia memerlukan 3 - 12 minggu dengan kadar 3 jam seminggu untuk menghabiskan silibus pelajaran. 

Komited dan cinta ilmu adalah syarat utama untuk mengikuti pelajaran percuma ini. Syarat yang lain, internet laju dan pemahaman bahasa inggeris yang OK. Setakat ini belum ada universiti tempatan yang menawarkan pendidikan percuma melalui internet.

Berikut adalah antara websites yang menawarkan pendidikan percuma daripada pelbagai bidang dan universiti terkemuka.


Sebahagian daripada Universiti yang berkhidmat





























Sebahagian daripada Universiti yang berkhidmat

















































lebih banyak lagi disini: LifeHacker

Pembelajaran percuma yang 'diiktiraf' ini sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk lebih komited belajar dengan adanya tunjuk ajar daripada tenaga pengajar yang bertauliah. Berbanding jika anda belajar sendiri, kadangkala anda mudah bosan kerana ia hanya pembelajaran sehala. Berbeza dengan website pembelajaran percuma ini, anda berpeluang untuk bertanya, berbincang dan juga ada kerja rumah dan assignment yang perlu disiapkan! 

Mungkin anda minat untuk mempelajari sesuatu ilmu itu tetapi tidak berpeluang mempelajarinya secara formal. Minat tentang programming tetapi belajar dalam bidang sains? Mungkin inilah masanya anda belajar melalui internet secara formal. 

Musim cuti semester panjang yang mungkin tidak produktif insyaAllah bolehlah diisi dengan kelas tambahan percuma ini.

“Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju ke syurga.” (HR Muslim)

Sumber:
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...